ARAU: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi pertaruhan utama kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani isu kesihatan dan ekonomi ketika ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar percaya Mustapa dan Khairy boleh laksanakan tugas mereka dengan cemerlang bersandarkan pencapaian mereka sebelum ini.
“Mereka ini dilihat kuat bekerja berbanding berpolitik. Jika dua kementerian tersebut berjaya, insya-Allah kita akan lebih cepat ke hadapan dan keluar daripada masalah kesihatan dan ekonomi ketika ini.
“Kementerian lain, peluang harus diberikan dalam 100 hari dan jika gagal rombakan Kabinet perlu dilakukan. Sekarang adalah masa untuk bekerja dan menuntut komitmen sepenuhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, secara asasnya, pembentukan Kabinet baharu tidak nampak perbezaan ketara dengan barisan Kabinet sebelum ini apabila kebanyakan muka lama masih dikekalkan dengan apa yang berubah hanyalah portfolio mereka.
Katanya, muka-muka baharu yang berpotensi dan muda seperti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan tidak diketengahkan.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, walaupun tempoh 100 hari dianggap singkat tetapi barisan Kabinet tiada pilihan kecuali bekerja keras kerana rakyat sedang memerhati dan menilai.
“Jika kerajaan kali ini tidak perform, maka ia berisiko memberi kesan kepada sokongan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Maka, kerana itulah Perdana Menteri meletakkan (sebagai tanda aras) untuk mencapai dan menunjukkan pencapaian dalam 100 hari, jika tak perform, boleh jadi dia (menteri) ditukarkan.
“Malah jika tak capai atau gagal, berkemungkinan tak dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan tidak dicalon semula (sebagai menteri), maka mahu tak mahu kena kena perform,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN










