PETALING JAYA: Kabinet baharu yang diumumkan semalam tidak memerlukan masa sehingga 100 hari sebagai ukuran terhadap prestasi kerja kerana 80 peratus daripada mereka terdiri daripada individu berpengalaman dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
Sebaliknya, penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, 30 hari sudah cukup untuk mereka membuktikan kemampuan terutama dalam usaha menangani Covid-19, memperkasa ekonomi dan penyampaian khidmat kepada rakyat.
“Hampir kesemua mereka sudah mempunyai pengalaman di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita tidak boleh mengambil banyak masa kerana kita sudah bertukar kerajaan sebanyak tiga kali.
“Kalau beberapa menteri yang baharu dilantik, ini boleh diberi peluang tetapi tidak kepada mereka yang sudah pernah berada dalam Kabinet sebelum ini,” katanya.
Pensyarah Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, semua jemaah menteri perlu mengumumkan perancangan jangka pendek yang ingin dicapai dalam tempoh 100 hari.
“Tempoh masa ini amat genting. Ia bukan satu pilihan dan barisan Kabinet mesti melakukannya dalam apa jua cara sekalipun. Ia tidak mustahil berjaya jika menteri bekerja keras.
“Jika didapati ada menteri yang kurang berprestasi, kepemimpinannya boleh dipersoal dan portfolio mereka boleh ditukar dengan calon yang lebih sesuai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ismail Sabri kelmarin menggesa supaya 69 anggota Kabinet membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama mentadbir dan menekan budaya kerja berprestasi tinggi.
Sementara itu, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun pula menjangkakan, penekanan budaya kerja berprestasi tinggi sukar dicapai dalam tempoh singkat itu sukar dicapai kerana masih tiada dasar-dasar jelas diketengahkan kerajaan.
Malah katanya, langkah menukarkan portfolio seseorang menteri tidak banyak membantu kerana pelantikan mereka dipengaruhi faktor politik, bukannya kemampuan seseorang anggota Kabinet.
“Pengaruh politik tidak sama dengan kemampuan dan pencapaian seseorang. Walaupun prestasi kerjanya kurang, pengaruh politik masih ada di belakang sebagai sandaran,” katanya. – UTUSAN










