JOHOR BAHRU: Kira-kira 12.8 peratus pusat tahfiz atau madrasah yang beroperasi di seluruh negeri ini hanya mampu bertahan kira-kira sebulan sahaja lagi setelah pendapatan pusat pengajian mereka terjejas teruk akibat impak Covid-19.
Malah, daripada 39 pusat tahfiz yang menyertai soal selidik dilakukan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Johor yang diadakan awal bulan lalu, 25.6 peratus daripadanya pula menjangkakan dapat bertahan dalam tempoh dua bulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kerja Pinta Johor, Mohd. Ihsan Md. Halid berkata, 28.2 peratus lagi menyatakan mereka masih ada sehingga tiga bulan sekiranya pembelajaran secara bersemuka tidak dimulakan kembali.
“Baki daripada responden yang menyertai kaji selidik kami pula memberitahu mereka mungkin dapat terus beroperasi lebih tiga bulan ke atas tetapi bergantung kepada kedudukan kewangan masing-masing yang memang sedia terjejas.
“Meskipun jumlah madrasah atau pusat tahfiz yang berdaftar di bawah Pinta Johor kini adalah sebanyak 103 buah, boleh dikatakan semua institusi itu berdepan cabaran tersendiri sama ada dari segi kutipan yuran, kos operasi dan tanggungan lain yang perlu dihadapi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohd. Ihsan yang juga Timbalan Mudir Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar Rashid di Johor Bahru berkata, kebanyakan madrasah yang beroperasi di kawasan bandar terpaksa menanggung kos sewa bangunan, bil utiliti dan bayaran penyelenggaraan walaupun tidak beroperasi sepenuhnya.
“Dari segi kutipan yuran memang tidak dapat sepenuhnya malah ada pusat tahfiz yang menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus kerana faham kekangan dihadapi ibu bapa, tetapi pada masa sama masih perlu membiayai kos-kos itu.
“Tetapi lebih perit adalah pusat-pusat tahfiz di kawasan lain yang ada antaranya tidak dapat beroperasi langsung kerana kekurangan fasiliti untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang secara tidak langsung menjejaskan pendapatan para guru juga,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Ihsan berkata, kira-kira 66 peratus yuran pelajar juga tidak dapat dikutip beberapa madrasah kerana tiada pelajar berada di asrama atau pun ibu bapa tidak berupaya untuk menjelaskan bayaran itu pada setiap bulan.
“Misalnya sebuah pusat tahfiz yang memiliki 100 orang pelajar sebelum ini memperoleh pendapatan melalui yuran sahaja kira-kira RM35,000 sebulan untuk tanggung segala kos, tetapi dalam tempoh pandemik ini hanya dapat kutip dalam RM11,000 sahaja dengan kos-kos masih sama.
“Jadi, memang kita agak sukar untuk bertahan. Malah, madrasah kami pada masa sama turut menawarkan pengurangan yuran kepada ibu bapa pelajar antara 25 ke 50 peratus kerana kami juga faham kekangan dihadapi mereka, itu pun masih tidak semua yang mampu jelaskannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










