Pusat tahfiz tiada wang bayar gaji 8,000 guru sebab yuran tertunggak - Utusan Malaysia

Pusat tahfiz tiada wang bayar gaji 8,000 guru sebab yuran tertunggak

MUHAMMAD HAFIZ MOHD. HANEEFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pengurusan pusat tahfiz di Selangor mendakwa menghadapi kekangan untuk membayar gaji kira-kira 8,000 tenaga pengajar berikutan terdapat tunggakan yuran bulanan yang belum dijelaskan ibu bapa.

Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS), Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa berkata, pusat-pusat tahfiz di negeri itu berdepan tunggakan yuran berjumlah sehingga RM8 juta.

Menurutnya, walaupun diberikan pemotongan sehingga 60 peratus, ramai ibu bapa masih tidak mampu membayar yuran anak-anak mereka disebabkan mereka turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ada yang kata halalkan sahaja tetapi masalahnya ialah yuran RM300 hingga RM600 itu sudah diberi potongan 40 hingga 60 peratus.

“Inilah punca mengapa gaji guru tahfiz tidak dibayar. Justeru mewakili pihak PITAS dan 1,135 pusat tahfiz memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan baharu membantu kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan kira-kira 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat
tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian mereka ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Sekatan pergerakan itu menyebabkan pelajar tahfiz tidak dapat mengikuti pengajian dengan sempurna kerana pembelajaran secara maya mengundang pelbagai masalah.

Muhammad Hafiz berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan memberi bantuan one off RM500 untuk tahfiz dalam belanjawan tahun lalu dan peruntukan baik pulih pusat tahfiz, selain bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM200,000 tahun ini untuk lapan maahad paling terkesan.

Katanya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga ada membantu untuk bayaran sewa bangunan, bil utiliti sebanyak RM2 juta pada tahun lalu.

“Tahun ini tidak pasti lagi. Saya berharap ada bantuan dari Kerajaan Pusat untuk membantu guru tahfiz yang bergaji RM900 hingga RM1,200 sahaja. Guru-guru ini mengajar 70,000 pelajar di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×