KUALA LUMPUR: Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Caprice memaklumkan dia sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa, awal pagi hari ini.
Berkongsi di Instagram miliknya, Caprice atau nama lengkapnya Ariz Ramli turut memberitahu bahawa dia dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp oleh pihak berkuasa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
“IO atau Inspektor dari IPD Wangsa Maju akhirnya menghubungi Caprice secara WhatsApp (mesej dan panggilan).
“Sebenarnya Interpol tidak mencari pun, cuma artikel yang ditulis buat nampak macam ada kes luar biasa sehingga orang komen macam Caprice ini hilang atau tengah lari.
“Alhamdulillah semua ok, tiada kes jenayah pun yang dibuka. IPD Wangsa Maju hanya nak minta statement (keterangan) Caprice. Sebab Caprice melalui banyak perkara yang pelik sejak kita sampai,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Xde Hal Bro, berkata, dia dihujani mesej orang ramai yang risau akan keadaannya di sana sejak berita dia dicari pihak berkuasa keluar.
“Perkara itu buat Caprice lagi risau dan fikir bukan-bukan. Rasminya, ini baru tiga minggu di mana Caprice gerak seorang dengan misi kita sendiri #roadtoalaqsa2030.
“Terima kasih kepada @pdrmsia_official sebab bagi keterangan yang sangat jelas dan profesional, terima kasih juga kepada rakan-rakan di PDRM yang mengingatkan semula tentang keselamatan di area ni,” akhirinya yang akan pulang ke Malaysia selepas misi di sama selesai.
Terdahulu, PDRM telah memohon bantuan Interpol bagi berhubung dengan aktivis kemanusiaan, Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.










