Pemimpin politik hargai tindakan Muhyiddin - Utusan Malaysia

Pemimpin politik hargai tindakan Muhyiddin

ANWAR IBRAHIM dan MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri mele­takkan jawatan dianggap membuka ruang ke arah perubahan untuk negara dalam berhadapan dengan situasi Covid-19 dan kemelut ekonomi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik langkah Muhyiddin meletakkan jawatan setelah gagal menguruskan pandemik Co­vid-19 dengan cepat dan berkesan.

“Saya menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa semoga Malaysia kembali bangkit kuat dalam menghadapi tantangan kesihatan dan ekonomi pada saat ini. Saya ucap terima kasih atas khidmat beliau pada negara,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Par­ti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal enggan mengulas berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh Kabinet selepas menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Nantilah esok (hari ini) saya berikan pandangan saya. Kita berikan masa untuk beliau bertenang dalam keadaan sekarang. Cuma, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menghargai tindakan Muhyiddin selepas tidak lagi mempunyai soko­ngan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Selama 17 bulan berkuasa, Muhyiddin telah berusaha tetapi tidak mampu mena­ngani krisis tiga serentak iaitu pandemik Covid-19, kemele­setan ekonomi dan ketidakstabilan politik,” katanya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, mandat rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu perlu dikembalikan dan ahli Parlimen yang menang pilihan raya atas tiket Pakatan Harapan (PH) kembali bersama gabungan itu supaya mandat diberikan rakyat dapat dilaksanakan.

“Maka, tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana pe­ranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan negara untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat Co­vid-19 dan membina semula ekonomi negara,” jelasnya.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman menyeru semua pihak menyerahkan segala keputusan kepada pakar-pakar perundangan ne­gara dan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam me­lantik Perdana Menteri baharu menggantikan Muhyiddin.

“Seperti Tun Dr. Mahathir sebelum ini, beliau menjadi caretaker dan dalam masa beberapa hari Seri Paduka memanggil semua ahli Parlimen dan ketua-ketua parti untuk pastikan siapa yang mempunyai sokongan majoriti pada hemat Seri Paduka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pene­rangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Muh­yiddin sejak awal lagi mendambakan kestabilan politik namun keadaan bertukar malang disebabkan ada pihak yang berniat merosakkan ke­stabilan yang dikecapi.

“Tindakan Muhyiddin me­nunjukkan beliau seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rak­yat dan negara. Malang buat negara kita kerana ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu,” katanya.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, partinya akan terus bersama PN sama ada gabu­ngan itu akan berperanan sebagai kerajaan atau pembangkang selepas kerajaan baharu dibentuk dalam masa yang belum dipastikan selain berjuang untuk rakyat dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×