Trend pesakit Covid-19 menurun, sinar di hujung terowong - Utusan Malaysia

Trend pesakit Covid-19 menurun, sinar di hujung terowong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah pesakit Covid-19 yang menunjukkan penurunan dalam kalangan warga emas dan warganegara di sekitar Lembah Klang memberi khabar gembira untuk seluruh petugas perubatan dan orang ramai.

Trend penurunan jangkitan itu memberi harapan dan menunjukkan adanya sinar untuk keluar daripada pandemik yang melanda negara sejak awal tahun lalu sehingga merekodkan 1,404,899 kes secara keseluruhan.

Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Hana Hadzrami berkata, beliau mendapati kadar kemasukan pesakit Covid-19 mencatatkan penurunan sejak Julai lalu selain kemasukan pesakit warganegara menunjukkan perubahan sama.

Jelasnya, rujukan daripada Jabatan Kecemasan (ED) kepada pasukan unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit kritikal Covid-19 juga berkurang.

“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan. Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dengan kanvas memenuhi segenap ruang di ED.

“Sekarang sudah nampak lantai. Jumlah pesakit kategori ringan mungkin masih ramai tetapi mereka cuma perlukan pemantauan dan rawatan di wad saja.

“Tidak sabar nak jadi macam negeri Sarawak. Di sana pesakit Covid-19 kritikal di ICU hanya tiga orang sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka. Kita berusaha dan bertawakal. Insya-Allah vaksin berkesan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau kelmarin.

Beliau juga berkata, masih ada pesakit Covid-19 dalam kalangan warganegara yang dirujuk ke ICU namun terdiri daripada mereka yang enggan menerima suntikan vaksin tetapi pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa.

Menurutnya, terdapat juga pesakit wabak berkenaan daripada mereka yang divaksinasi namun sembuh dengan masa yang cepat berbanding mereka tidak divaksinasi.

“Empat pesakit kami yang sudah divaksin memerlukan bantuan pernafasan hanya tiga hingga empat hari sahaja berbanding dua hingga minggu pesakit lain yang tidak sempat menerima vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×