“Semuanya rezeki daripada Tuhan” - Utusan Malaysia

“Semuanya rezeki daripada Tuhan”

ROSLEE Ali ketika bertugas menyediakan liang lahad untuk pengebumian jenazah Covid-19. - IHSAN JAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur, Roslee Ali menganggap pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Tokoh Frontliner Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443 sebagai rezeki daripada Allah.

Beliau yang sudah bekerja sebagai penggali kubur di kawasan itu hampir 11 tahun berkata, dia tidak berharap balasan daripada tugasan yang dilakukannya selama ini.

Katanya, sejak pendemik Covid-19 melanda negara, tugasnya semakin bertambah ekoran kes kematian yang naik mendadak.

“Ekoran kes kematian yang naik mendadak, saya terpaksa menggunakan jentera untuk menggali lubang kubur bagi jenazah Covid-19 manakala jenazah lain digali secara manual,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai usianya sudah mencapai 63 tahun tetapi masih mempunyai kudrat yang kuat, beliau berkata, tiada rahsia atau amalan yang beliau amalkan melainkan menjaga kesihatan dan berdoa dikurniakan kesihatan yang baik sahaja.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan Roslee terlibat dalam urusan pengebumian jenazah Covid-19 dan dan pernah menyediakan sekitar 40 liang lahad dalam sehari.

Sementara itu, Roslee berkata, dia bersyukur kerana dapat berbakti dalam menguruskan jenazah mangsa Covid-19 yang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Penat itu penat juga, tetapi saya bersyukur kerana dapat berbakti kepada yang telah tiada,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×