Tiada siapa layak jadi PM - Utusan Malaysia

Tiada siapa layak jadi PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membuat pengumuman Khas Perdana Bersama Memulihkan Negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam secara tidak langsung mengakui Perikatan Nasional (PN) tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat tetapi menegaskan, tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan mendapat sokongan majoriti untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

Perdana Menteri berkata, sekiranya beliau memilih untuk meletak jawatan, Perdana Menteri yang baharu masih tidak boleh dilantik mengikut Perlembagaan, sekali gus memberi implikasi kepada pembentukan Kabinet dan sebuah kerajaan.

Kataya, jika beliau berhenti menjadi Perdana Menteri, seluruh anggota Jemaah Menteri perlu sama berbuat demikian sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan jatuh.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?

“Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” kata beliau dalam Ucapan Khas Perdana Bersama Memulihkan Negara dihadiri barisan sembilan wakil Kabinet.

Pengumuman itu sekali gus dilihat sebagai usaha terdesak Perdana Menteri untuk mempertahankan kerajaan ekoran tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menghantar dua warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan isu penarikan sokongan kepada Muhyiddin.
Dalam warkah tersebut, Ahmad Zahid mendedahkan 14 nama ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang juga menarik sokongan kepada Muhyiddin.
Selain UMNO, pembangkang turut mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran didakwa telah hilang majoriti.

Terbaharu, tuntutan Istana Negara mengenai jumlah kerusi kerajaan PN dalam Dewan Rakyat yang kemudian sudah dijawab oleh Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun.

Dalam surat bertarikh 9 Ogos, Azhar memberitahu, bilangan kerusi PN di Dewan Rakyat kini hanya tinggal 100 kerusi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebagai satu cara menyelesaikan kemelut politik, pimpinan parti-parti dalam kerajaan PN mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar perikatan untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Ini katanya, bagi membolehkan kerajaan yang ada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai diadakan pilihan raya dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah sebuah kerajaan lebih stabil dan inklusif.

Justeru, Muhyiddin mencadangkan tujuh rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya diluluskan iaitu pertama, semua ahli parlimen akan menerima peruntukan tahunan sama tanpa mengira parti politik dan ahli parlimen pembangkang.

Kedua, kata beliau, bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion sebagai membantu memenuhi keperluan tambahan demi mengukuhkan sistem kesihatan, menambah baik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Menurut Perdana Menteri, cadangan ketiga ialah sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan RUU Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen sebagai cadangan keempat dengan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

Jelasnya, jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua ahli parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggariskan cadangan kelima iaitu membabitkan persetujuan kerajaan melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

Bagi cadangan keenam, kata Muhyiddin, semua RUU termasuk RUU perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen dan hanya dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Beliau turut memberitahu, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara dengan seorang Menteri Kanan sebagai cadangan terakhir.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat aku janji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan selewat-lewatnya hujung Julai tahun depan,” katanya yang menegaskan kesemua cadangan itu bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen demi tanggungjawab tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×