PETALING JAYA: Bursa Malaysia petang semalam ditutup 0.4 peratus lebih rendah pada 1,489.8 mata selaras dengan sebilangan besar rantau lain berikutan kebimbangan terhadap varian Delta yang boleh mengganggu prospek pemulihan ekonomi sekali gus meredam sentimen pelabur.
Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, jumlah kes Covid-19 secara global telah melebihi 200 juta kes menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Tambahan pula, China telah mengenakan sekatan mobiliti untuk mengekang penyebaran varian Delta, termasuk pembatalan penerbangan dan perkhidmatan kereta api.
“Jumlah kes Covid-19 harian di dalam negara harini telah mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak 20,889 kes,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dari segi kaunter, Adam menjelaskan, antara kaunter yang rugi adalah kaunter sarung tangan iaitu Hartalega dan Top Glove yang masing-masing merosot 2.1 peratus dan 2.4 peratus.
Oleh itu, ujarnya, Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia adalah yang paling rugi di antara sektor lain setelah ditutup 1.2 peratus lebih rendah.
Melangkah ke hadapan, Adam berkata, jumlah kes wabak Covid-19 akan terus dipantau oleh pelabur di samping sebarang perkembangan dalam tindakan tegas China terhadap sektor pendidikan dan teknologi.
“Namun begitu, minggu hadapan akan menjadi minggu yang penting kerana Malaysia akan mengeluarkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua tahun ini (2Q2021) pada Jumaat.
“Semua akan tertumpu kepada perkara itu kerana para pelabur ingin mengukur trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia setelah sekatan perjalanan penuh dilaksanakan pada suku tersebut sehingga menyebabkan keupayaan bekerja yang terhad untuk beberapa sektor pembuatan,” jelas Adam.
Beliau berkata, sebarang kejutan positif daripada data KDNK itu mungkin mampu menyokong beberapa kenaikan dalam pasaran pada minggu hadapan.
Pihaknya turut meramalkan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan didagangkan dalam lingkungan 1,490 hingga 1,500 mata pada minggu hadapan.
Mengenai ringgit, Adam memberitahu, ia terus menghadapi tekanan walaupun terdapat sedikit kekuatan dalam harga minyak mentah Brent memandangkan kegelisahan daripada kenaikan kes Covid-19 terus mengaburkan prospek pertumbuhan ekonomi.
“Tanpa sebarang tanda kes wabak Covid-19 akan menurun, kami menjangka ringgit akan mengalami kenaikan pada minggu hadapan dan diperdagangkan dalam lingkungan RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya. – UTUSAN










