Mampukah bank wakaf bantu rakyat? - Utusan Malaysia

Mampukah bank wakaf bantu rakyat?

Bank wakaf boleh membantu membiayai projek berkaitan penjanaan ekonomi rakyat. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Betul kata orang, bencana membawa peluang. Kata-kata ini bertepatan sekali dengan usaha menangani impak wabak Covid-19 yang berlaku sekarang. Setakat rencana ini ditulis, pandemik Covid-19 telah menjangkiti lebih 201 juta orang dan meragut nyawa lebih 4.2 juta di seluruh dunia.

Di negara kita sahaja, lebih 1.2 juta kes dan meragut lebih 10,000 nyawa direkodkan. Sesungguhnya, keadaan meruncing ini perlu dijadikan pengajaran dan cara mengatasinya yang paling berkesan perlu dicari. Penggunaan pelbagai jenama vaksin masih belum menunjukkan kejayaan sepenuhnya.

Apabila berjuang dengan sesuatu yang tidak kelihatan, sudah tentu strategi perjuangan menjadi lebih sukar untuk dilaksanakan tatkala kos semakin melambung tinggi dan hasil kejayaan masih lagi samar-samar. Begitu juga masalah ekonomi rakyat yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

Bantuan dan kelonggaran bayaran balik pinjaman perlu diutamakan kepada rakyat yang dalam kesusahan. Tahap profesionalisme yang tinggi oleh semua pihak amat diperlukan untuk memastikan setiap tindakan diambil melibatkan strategi dan hasil akhir memuaskan. Kata bapa pengurusan moden Peter Drucker, “do something with the end in mind.” Kata Patsy Healey, profesor dalam bidang pembangunan di Universiti Newcastle, United Kingdom pula, sesuatu keputusan mestilah berdasarkan struktur dan agensi.

Pertama, struktur iaitu peraturan, sumber daya dan idea. Undang-undang merupakan asas kepada institusi atau cara hidup manusia dalam sesuatu komuniti. Begitu juga kewangan atau sumber daya mencukupi dan idea bernas daripada semua pihak. Kedua, tingkah laku manusia yang melibatkan peranan, strategi, sikap dan tindakan mereka. Peranan semua pihak terlibat amat mustahak dalam menangani wabak Covid-19. Tugas barisan hadapan amat penting dan agensi kerajaan termasuk askar dan polis juga mustahak. Strategi pula perlu mengikut keutamaan dan keperluan semasa berdasarkan negeri, daerah, kawasan dan sebagainya.

Perkara seterusnya yang tidak kurang penting ialah kos dan pengurusan kewangan terutama berkaitan bajet untuk vaksin, membeli perkakasan perubatan, penggajian, kenderaan dan sebagainya. Dilaporkan setakat ini, kira-kira RM54 bilion telah dibelanjakan untuk menangani wabak Covid-19 di seluruh negara sejak ia mula merebak pada 2019. Dalam konteks kewangan, kita mempunyai banyak sumber yang masih belum diterokai sepenuhnya. Antaranya filantropi termasuk wakaf, derma, bantuan kewangan, sedekah, hibah dan pembiayaan.

Menurut profesor polisi dan strategi dari Universiti Malaya, Nazari Ismail, sudah sampai masanya kita menilai semula peranan yang boleh dimainkan model kewangan wakaf dalam menangani impak pandemik Covid-19. Dijangka 25 juta orang akan kehilangan pekerjaan. Mereka akan mengalami kesukaran untuk membayar balik pinjaman, menyewa rumah ataupun membeli makanan untuk keluarga.

KHALIFAH

Justeru, dengan cara mengubah pandangan terhadap model ekonomi berasaskan wakaf, pergantungan kepada kerajaan dan jumlah hutang negara boleh dikurangkan.

Buktinya, semasa era Khalifah Abbasiyyah dahulu, hutang kerajaan amat rendah dan wakaf mendominasi ekonomi.

Bagaimana wakaf boleh menyumbang memulihkan impak sosioekonomi akibat pandemik Covid-19? Cuba kita lihat sejarah penubuhan Tabung Haji (TH). Selepas 40 tahun ditubuhkan, TH mencapai tahap kejayaan amat membanggakan. Nilai aset TH bernilai lebih RM78 bilion pada 2020, meraih pendapatan pelaburan RM1.55 bilion sepanjang tempoh enam bulan pertama 2020, lebihan aset berbanding tanggungan sebanyak RM1.9 bilion dalam tempoh sama. Pelaburan hartanah memberi pulangan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran kewangan patuh syariah sebanyak RM187.13 juta dan pelaburan ekuiti RM150.27 juta. Jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada Jun 2020 dan ada 123,000 pendeposit baharu dalam tempoh sama. Selain itu, TH memiliki beribu-ribu hektar ladang di dalam dan luar negara. Begitu juga banyak rangkaian hotel di seluruh negara.

Sudah sampai masanya kita menubuhkan Bank Wakaf Negara (BWN). Kalau nama bank begitu gah bunyinya dan banyak masalah untuk ditubuhkan, kita namakan sahaja Dana Wakaf Negeri (DWN) yang ditubuhkan di setiap Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal keagamaan terletak di bawah Senarai Negeri. Lantaran, kerajaan negeri di bawah sultan sebagai Ketua Agama Islam boleh mengarahkan MAIN melaksanakannya mengikut peraturan-peraturan yang ada atau meminda perundangan atau enakmen berkaitan.

Kemudian di peringkat Kerajaan Persekutuan, penyelarasan dan penyeragaman boleh dilakukan melalui Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Waqaf Malaysia. Penyelarasan juga boleh dilakukan terhadap dana wakaf atau pembiayaan pengajian tinggi melalui semakan dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Begitu juga Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang perlu disemak kerana ia melibatkan kewangan Islam. Namun demikian, penggubalan Akta Wakaf Negara perlu diusahakan secara bersepadu.

Sebenarnya, sudah ada bank wakaf yang terkenal di luar negara iaitu di Turki manakala sudah ada bank wakaf mikro yang telah diluluskan di Indonesia dan akan mencapai bilangan 100 tidak lama lagi. Di negara kita, sudah ada 25 permohonan untuk menubuhkan bank berlesen secara digital dan lima akan diluluskan pada awal tahun hadapan. Sesungguhnya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Bank wakaf boleh membantu membiayai projek berkaitan penjanaan ekonomi rakyat terutama tanah wakaf berserakan di seluruh negara selain menyumbang memulihkan ekonomi akibat impak pandemik di negara kita.

PROFESOR Dr. Ismail Omar ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dan profesor hartanah dan pakar wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×