Muhyiddin dakwa masih ada majoriti - Utusan Malaysia

Muhyiddin dakwa masih ada majoriti

MESYUARAT tergempar Kabinet dipercayai akan diadakan Putrajaya petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin terus kekal sebagai Perdana Menteri walaupun UMNO telah menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di samping tekanan daripada blok pembangkang supaya beliau meletakkan jawatan.

Walaupun didakwa sudah hilang majoriti namun semalam Muhyiddin menegaskan bahawa beliau masih memiliki sokongan yang cukup untuk kekal sebagai kerajaan dan juga Perdana Menteri.

Malah kata Muhyiddin sebarang usaha untuk mencabar keabsahan kedudukan beliau itu perlu dilakukan melalui undi percaya pada sidang Parlimen September ini.

Katanya, perkara itu sudah beliau persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah telah memperkenan cadangan untuk menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Parlimen melalui usul undi percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Di sebalik, penegasan Muhyiddin bahawa beliau masih mempunyai sokongan, pembangkang terus mendesak supaya perkara itu dibuktikan segera melalui Sidang Khas Parlimen dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri kedudukan beliau dan PN sebagai kerajaan memerintah hanya dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan. Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenan cadangan saya ini,” kata beliau dalam perutusan khas semalam bagi menjelaskan kedudukan Kerajaan PN dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Turut mengiringi Muhyiddin semasa perutusan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama tujuh menteri lain.

Menteri-menteri lain itu ialah Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak sekali-kali mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi serta mempertahan Perlembagaan.

Beliau pada masa sama sedar mengenai kemelut politik sengaja dicetuskan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Beliau turut membangkitkan berhubung tindakan pihak-pihak tertentu yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka termasuk desakan supaya mencampuri urusan mahkamah demi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” kata Muhyiddin.

Terdahulu, Perdana Menteri menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap selepas menerima warkah daripada Seri Paduka Baginda yang memaklumkan terdapat lapan ahli Parlimen UMNO menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka menarik sokongan kepada beliau.

Dalam warkah itu, katanya, Seri Paduka Baginda memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”

Kedua, Perkara 43 (4) iaitu: “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Dalam majlis menghadap pagi ini (semalam, saya menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda bahawa saya menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi keyakinan bahawa Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan terus berfungsi melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau turut memberikan jaminan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

Ini termasuk kata beliau, memastikan bantuan-bantuan yang diumumkan kerajaan dapat diterima rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para petugas hadapan terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama parti-parti pembangkang, mereka menegaskan menolak PN dan mahu Muhyiddin meletak jawatan.

Mereka mendakwa, tidak mungkin Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti seperti yang dinyatakan oleh beliau dalam perutusan khas berkenaan.

“Adalah mustahil Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah ahli parlimen kerajaan kelmarin.
“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan,” katanya.

Kenyataan akhbar itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik (Bebas) ; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Terdahulu, Parti Muda, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak menyokong PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×