SECARA luarannya, tiada apa-apa yang pelik mengenai ‘darurat besar’ di negara ini. Selain kehidupan di Tanah Melayu seawal 1948 terbiasa dengan suasana darurat, Malaysia setakat ini sudah diisytiharkan darurat sebanyak lima kali sejak 1964.
Darurat besar terakhir diisytiharkan pada 11 Januari 2021, diwarta atas sebab-sebab keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam akibat pandemik Covid-19 bermula awal 2020. Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia mencatatkan lebih 1.1 juta kes keseluruhan dan 9,024 kematian.
Darurat ini turut ditemani beberapa negara lain seperti New Zealand, Jepun, Filipina dan Thailand. Namun berbeza dengan Malaysia, darurat di negara lain tidak lama.
New Zealand diletakkan dalam darurat akibat pandemik selama 49 hari pada 2020. Jepun mengisytiharkan darurat tidak lebih sebulan, pertamanya awal April 2020. Darurat sekali lagi diisytiharkan dari 25 April hingga 11 Mei sebagai persediaan menganjurkan Sukan Olimpik 2020.
Darurat di seluruh Filipina diisytiharkan dalam bentuk pengisytiharan keadaan malapetaka (state of calamity) selama enam bulan bermula 16 Mac 2020. Pada masa sama, Filipina juga bergelut dengan demam African swine sehingga diisytiharkan darurat malapetaka yang dijangka tamat penghujung 2021.
Darurat di Thailand diisytiharkan seawal Mac 2020 dan berlangsung selama tiga bulan. Di Thailand, tempoh darurat yang dibenarkan undang-undang hanyalah paling lama selama tiga bulan.
Oleh itu, bukanlah sesuatu menghairankan sekiranya darurat diisytiharkan beberapa kali. Darurat yang diisytiharkan itu tidak lebih hanya sebagai alat digunakan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha untuk menghadapi protes prodemokrasi yang semakin merebak di Thailand.
Analisis dibuat pertubuhan serantau dan antarabangsa mendakwa keadaan darurat sama ada di Thailand, Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Filipina adalah strategi kerajaan menekan kebebasan media dan hak warga untuk meluahkan pandangan secara bebas.
Dalam konteks di Malaysia, meskipun kesan yang dicetuskan oleh Covid-19 dianggap oleh kerajaan sudah terlalu buruk akibatnya, namun sebuah portal berita antarabangsa melaporkan suatu kenyataan pembangkang yang yakin kuasa diberikan oleh darurat bermaksud memberikan kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk melakukan hampir apa sahaja sesuka hati, baik dari segi penggunaan dana negara mahupun soal-soal berkaitan proses perundangan sistem demokrasi raja berperlembagaan.
Malahan ada berpandangan, kuasa yang diperuntukkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengisytiharan darurat dan ordinan darurat dijadikan penyambung hayat politik kerajaan dalam menghadapi isu keabsahan.
Perhatian dan kegusaran langsung yang ditunjukkan oleh semua pihak mengarah kepada kemungkinan keadaan darurat dilanjutkan tanpa menunjukkan kepastian bila ia akan ditamatkan secara tuntas, sekali gus ini memberi kesan kerana fungsi Parlimen sebagai badan yang menghidupkan demokrasi berperlembagaan tidak dapat melancarkan sistem politik atau pentadbiran negara berdasarkan perlembagaan.
POLITIK WATAN
Jalan keluar hanyalah satu, iaitu bergantung kepada peranan dan hikmah Yang di-Pertuan Agong selaku ketua eksekutif negara untuk menjelmakan rasa puas hati Seri Paduka dan menitahkan Parlimen bersidang semula.
Bagaimanapun, dengan corak aliran politik semasa yang menunjukkan seolah-olah tiada elemen keharmonian dari sudut hubungan antara kerajaan dengan institusi Yang di-Pertuan Agong kerana sebahagian besarnya disebabkan perbezaan tafsiran dan pendekatan berdasarkan peruntukan perlembagaan.
Maka sangatlah dikhuatiri situasi ini menjadi semakin rumit, bukan sahaja disebabkan krisis perlembagaan, malah bersangkutan pula dengan politik kepartian yang lama-kelamaan menjalar ke halaman sistem politik negara secara tidak berimbang dan terlepas daripada kawalan.
Darurat sebaik sahaja diisytiharkan membawa implikasi politik secara langsung dan tidak langsung. Insiden terdahulu yang sebahagiannya terseret sehingga diselongkar segala sisi baik dan buruknya di mahkamah.
Darurat berkait rapat dengan perlembagaan. Sudah lebih 50 kali Perlembagaan Persekutuan dipinda yang melibatkan begitu banyak klausa.
Namun, perlembagaan dari semasa ke semasa menimbulkan krisis. Kenyataannya, sistem politik watan sangat istimewa dan perlu ditadbir bukan hanya menggunakan peruntukan perlembagaan bernada Westminster semata-mata, malah, memetik kata-kata Majlis Privy di London dalam penghakiman kes melibatkan Darurat Kelantan 1977, “perlu juga mempertimbang sentuhan Eastminster.”
Ingatan halus tersebut disimpulkan dengan lebih rapi oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan pada waktu itu, Raja Tun Azlan Shah (dalam buku The Role of Constitutional Rulers: A Malaysian Perspective For The Laity (1982) Vol. 9 JMCL 1:
“Seorang raja adalah seorang raja, sama ada dia bersifat mutlak ataupun raja berperlembagaan. Satu-satu perbedaan antara keduanya adalah yang satu mempunyai kuasa-kuasa tidak terbatas, kuasa satu lagi ditakrif oleh perlembagaan. Namun, adalah satu kesilapan untuk memikirkan peranan seorang raja, sepertimana seorang presiden terhad kepada apa yang disebut oleh perlembagaan. Peranannya menjangkau jauh lebih peruntukan-peruntukan perlembagaan.”
Soal perlembagaan dan politik perlembagaan melibatkan peranan institusi Yang di-Pertuan Agong secara langsung.
Dalam suasana sebegini, kelihatannya semakin jelas apa yang negara perlukan adalah keharmonian hubungan antara komponen-komponen utama pentadbiran negara, iaitu kerajaan dan juga hikmah kedudukan dan fungsi institusi Yang di-Pertuan Agong selaku ketua eksekutif.
Ini soal watan.
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











