Zahirkanlah semangat patriotisme - Utusan Malaysia

Zahirkanlah semangat patriotisme

MEMASUKI bulan kemerdekaan, kita perlu mengetepikan segala perselisihan dan persengketaan seterusnya menggunakan semangat patriotisme tinggi untuk menangani kemelut dan krisis yang sedang dihadapi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA dan rakyat pada ketika ini masih bergelut dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang cukup serius susulan serangan wabak Covid-19 lebih setahun lalu. Justeru, sebarang bentuk krisis mahupun kemelut politik bukanlah suatu perkara yang dialu-alukan pada waktu ini.

Seharusnya segala perhatian dan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada usaha untuk mengeluarkan negara dan rakyat daripada masalah wabak dan ekonomi. Ironinya, ia hanya mampu dilakukan melalui kestabilan politik dan pentadbiran yang kukuh.

Oleh itu, rakyat sudah mula bimbang dengan kemelut politik yang sedang berlaku sekarang kerana khuatir boleh menjejaskan segala usaha untuk menangani wabak dan memulihkan ekonomi.

Justeru, memasuki Ogos yang lebih sinonim dengan gelaran bulan kemerdekaan, marilah kita mengetepikan segala perselisihan dan persengketaan yang wujud seterusnya menggunakan semangat patriotisme tinggi untuk menangani kemelut dan krisis yang sedang dihadapi.

Tuntasnya, inilah masa terbaik untuk semua pihak menzahirkan semangat patriotisme yang tinggi dan terpuji. Misalnya, kita perlu mengambil semangat dan roh kemerdekaan untuk membebaskan negara daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik.

Hayatilah sejenak pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup melakukan apa sahaja demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Melalui semangat patriotisme yang tinggi juga kita boleh meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya sekali gus mengetepikan semua kepentingan mahupun agenda peribadi yang boleh mengheret rakyat dan negara ke pelbagai krisis yang lebih memudaratkan.

Rakyat marhaen mahupun ahli politik perlu sedar, kepentingan negara tiada galang gantinya. Buka mata dan terimalah kenyataan bahawa kita sedang berada dalam krisis. Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang cukup serius. Boleh dikatakan ini antara detik yang sangat mencemaskan sejak kita merdeka 64 tahun lalu.

Masakan tidak, misalnya ekonomi rakyat cukup terjejas di mana kadar pengangguran semakin membimbangkan, rakyat yang hilang pendapatan secara total semakin bertambah, jumlah rakyat yang mengibarkan bendera putih dan mahukan bantuan bakul makanan juga terus bertambah.

Selain itu, kadar kematian kerana wabak Covid-19 juga terus naik mendadak di samping ramai juga mula membunuh diri kerana tertekan dan kemurungan disebabkan tidak mampu mengharungi cabaran hidup masa kini.

Secara umumnya, semangat patriotisme yang tinggi mampu menyelamatkan rakyat dan negara daripada krisis yang sedang kita hadapi.

Semangat ini boleh dizahirkan melalui pelbagai cara, misalnya dengan menghayati dan membudayakan kelima-lima prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan.

WAJAH KEHIDUPAN

Setiap prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan membawa maksud yang cukup mendalam.

Misalnya, prinsip kedua, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara yang mendidik kita untuk menumpahkan taat setia kepada negara serta menghormati institusi diraja.

Di saat getir seperti ini, kita perlu berpaut kembali kepada prinsip kedua ini yang dilihat cukup penting dan signifikan. Ringkasnya, Rukun Negara adalah wajah kehidupan rakyat Malaysia.

Ironinya, semua pihak perlu sedar, umpama buang yang keruh, ambil yang jernih, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan dengan semangat patriotisme yang tinggi, jangan sesekali lupa institusi raja adalah payung yang menaungi dan melindungi rakyat dan negara.

Memetik kata-kata Sultan Alauddin Riayat Shah, rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya. Begitulah signifikannya hubungan antara rakyat dengan raja. Hayatilah juga titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang pernah mengingatkan, “berkat daulat raja-raja Melayu, rakyat yang berada di tangga dapat ke pelantar, jika di pelantar dapat ke anjung, yang di serambi dapat ke tengah rumah.” Tuntasnya raja, pemimpin dan rakyat berpisah tiada.

Sebagai warganegara bertanggungjawab, zahirkanlah kesetiaan kepada raja dan negara melalui semangat patriotisme yang tinggi. Seperti yang dinukilkan oleh ahli sejarah Clyde Wilson, “sesiapa yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi, ia adalah cinta yang menggembirakan kepada tanah dan rakyat.”

Semangat patriotisme juga boleh dizahirkan melalui sikap saling hormat menghormati, bertolak ansur, mematuhi peraturan serta sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mengutamakan kepentingan negara.

Dalam konteks ini, latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik yang berbeza tidak boleh sama sekali menjadi garis pemisah di antara kita. Inilah masanya untuk kita bersatu padu dan mengukuhkan semangat perpaduan yang ada demi mengharungi semua krisis yang sedang kita hadapi.

Pokok pangkalnya, semuanya berbalik kepada sikap dan tingkah laku kita sendiri. Baik rakyat mahupun pemimpin politik, renung-renungkanlah nasib yang sedang melanda negara kita. Buang ego dan sikap mementingkan diri sebaliknya hayati semangat patriotisme yang tinggi serta insafi cabaran dan dugaan yang sedang kita lalui.

Marilah kita kembali berpaut kepada semangat dan roh yang dibawa oleh kelima-lima prinsip Rukun Negara sekali gus dengan semangat patriotisme yang tinggi meletakkan kepentingan negara mengatasi segala kepentingan dan kemahuan yang lain.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×