Tawar bantu tangkap ‘jerung’ - Utusan Malaysia

Tawar bantu tangkap ‘jerung’

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

WARGA asing juga manusia, mereka tidak boleh dizalimi. Itulah pendirian Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam memastikan isu berkaitan kemanusiaan seperti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran sama ada melibatkan warganegara, warga asing, pendatang asing tanpa izin (PATI) atau mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan dibantu dalam aspek perundangan.

Setiausaha Agung MHO, DATUK HISHAMUDDIN HASSIM memberitahu, perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak melanggar mana-mana undang-undang, sebaliknya berpegang kepada Perkara 8 dan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan berhubung hak semua golongan mendapat hak khidmat guaman tanpa melihat status mereka.

Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar AFIQ RAZALI di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: MHO ‘pembela’ PATI?
HISHAMUDDIN: Tidak semua warga asing datang secara haram. Ramai yang datang menggunakan visa, bekerja secara sah tetapi ditipu oleh ejen menyebabkan mereka tidak dapat memperbaharui pas kerja. Disebabkan masalah ini, mereka sewenang-wenangnya diugut dan ditipu untuk dieksploitasi.

MHO yang ditubuhkan sejak 2016 memainkan peranan dalam membantu mangsa dengan memberi fokus kepada bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman.

Warga asing adalah mereka yang tidak berkemampuan, malah mereka berhutang sana sini sebelum masuk ke Malaysia. Jadi, bagaimana mereka mahu menanggung kos guaman yang mahal dan berdepan masalah hutang jika diusir pulang ke negara asal?

Masyarakat perlu faham yang kami tidak membantu warga asing dalam perkara bertentangan undang-undang seperti mendapatkan tempat tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR), memberi lesen perniagaan yang membolehkan mereka bersaing dengan rakyat tempatan. Kami hanya membantu berkaitan isu kemanusiaan dan tidak membenarkan sebarang bentuk penzaliman melalui proses perundangan.

Apa masalah utama dihadapi warga asing?
Isu utama melibatkan dokumen diri dan dari situ pelbagai masalah timbul seperti ditipu oleh ejen dan sindiket, tidak dibayar pampasan apabila terlibat kemalangan di tempat kerja, diperas ugut oleh segelintir penguatkuasa berpangkat rendah dan tidak kurang ada pihak sengaja melakukan pemerasan supaya tiada tindakan diambil terhadap PATI.

Golongan ini menggunakan alasan PATI akan ditangkap pihak penguatkuasa dan dihantar pulang ke negara asal untuk menakutkan warga asing demi mendapatkan imbuhan. Ada juga yang wang dan pasport diambil majikan, kononnya bagi tujuan memperbaharui pas kerja tetapi dipaksa bekerja tanpa gaji manakala pasport lesap.

Pandangan MHO berhubung inisiatif kerajaan memperkenalkan aplikasi sembang interaktif ChatBox sebagai usaha memerangi pemerdagangan manusia?
Ia satu inisiatif yang baik dan kami amat menyokong usaha ini. Walaupun begitu, tidak semua warga asing mempunyai akses terus kepada aplikasi tersebut. Ini kerana tidak semua warga asing diberikan kemudahan tersebut oleh ejen dan majikan. Ada yang telefon bimbit dirampas oleh majikan, ada yang masih menggunakan model lama yang tidak menyokong aplikasi baharu. Jadi, MHO berpandangan perlunya peranan NGO bagi mendekati mangsa secara terus dan menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa bagi memecahkan rantaian sindiket.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud mengeluarkan kenyataan untuk menghukum NGO yang didapati melindungi PATI. Komen?
MHO memuji usaha Jabatan Imigresen dalam menguatkuasakan undang-undang selaras dengan moto jabatan itu, Kedaulatan Tanpa Sempadan. Sudah sampai masa kerajaan perlu bekerja sama secara bersepadu dalam mendekati mangsa pemerdagangan orang yang majoriti bimbang untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa walaupun mereka sedar telah menjadi mangsa. Kebanyakan NGO ada rangkaian di seluruh dunia yang mana boleh membantu kerajaan dalam memberi maklumat dan sokongan kepada mangsa Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

NGO akan menyalurkan maklumat berdasarkan aduan diterima. Kita faham warga asing amat takut dengan penguatkuasa. Jadi, di sinilah peranan kami membantu kerajaan, sekali gus diharap dapat merubah imej buruk Malaysia selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini menurunkan kedudukan Malaysia ke Tahap Tiga, iaitu tahap paling rendah dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021.

Ada peningkatan aduan sepanjang pandemik Covid-19?
Ya, terdapat peningkatan aduan daripada warga asing yang diperas ugut oleh pihak tidak bertanggungjawab yang suka mengambil kesempatan. Akibat penutupan beberapa sektor ekonomi menyebabkan majikan terpaksa menutup perniagaan, tidak dapat membayar gaji dan lebih buruk pas kerja mereka tidak dapat diperbaharui.

Lantaran status pas mereka telah tamat tempoh menyebabkan mereka terdedah kepada pemerasan.

Cadangan MHO kepada kerajaan?
Kita perlukan mekanisme bersifat situasi menang-menang. Contohnya, kerajaan dapat memberi insentif dengan memberi pas kerja sementara kes mereka disiasat. Ini akan menjadi tarikan kepada mangsa untuk berani tampil membuat laporan sekali gus menghentikan jenayah pemerdagangan manusia secara total. Malah dengan sedikit inisiatif seperti memudahkan isu dokumen diri, pergiatkan lagi kempen kesedaran, terbuka menerima bantuan atau cadangan daripada NGO, meningkatkan hubungan kerjasama antarabangsa dan memberi ganjaran kepada whistleblower yang mendedahkan maklumat sahih serta boleh dibuktikan seperti mendapat pas kerja secara sah selama beberapa tahun yang difikirkan sesuai dalam beberapa sektor berkaitan. Dengan cara ini, kita akan dapat tangkap ‘jerung’ atau kartel jenayah.

Sekiranya warga asing sudah mempercayai kita (kerajaan), secara tidak langsung mereka tidak takut ke depan termasuk dalam isu vaksinasi. MHO sambut baik cadangan kerajaan untuk melibatkan NGO dalam program vaksinasi membabitkan warga asing. Ia akan memberi kebaikan kepada kerajaan kerana mendapat data melalui pendaftaran MySejahtera. Daripada data itu, kerajaan boleh menyerap mereka kepada program bersesuaian lain seperti penentukaran selain dapat mencapai imuniti kelompok dengan cepat.

MHO melalui pengalaman bersama warga asing bersedia membantu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sekiranya diberi peluang mengelolakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terhadap warga asing terutama yang mempunyai masalah terhadap dokumen termasuklah golongan tanpa negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×