Darurat kesihatan yang baru berakhir dianggap sesetengah pihak sebagai gagal mencapai matlamatnya untuk mengekang penularan pandemik Covid-19. Sebaliknya ia menjadi lebih teruk semenjak negara dilandanya pada awal 2020. Sehubungan itu, kerajaan bukan sahaja dipersalah malah diminta berundur agar digantikan dengan yang lebih cekap.
Sebenarnya kerajaan melakukan banyak perkara, namun ia hanya boleh berusaha semampu mungkin yang sudah tentu tidak boleh sempurna dari segenap sisi dan pada setiap masa pula. Oleh itu, rakyat perlu menerima apa-apa yang diikhtiarkan kerajaan itu dengan penuh terima kasih dan pada masa sama membantunya untuk memperelok sisi yang kurang kamil. Ini kerana peperangan melawan pandemik adalah usaha bersama semua pihak. Sehubungan itu, pada setiap masa rakyat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai bukan sahaja tanggungjawab peribadi, malah keperluan nasional yang dikehendaki daripada mereka kini.
Tidak dapat dinafikan, darurat kesihatan ini dipolitikkan pihak tertentu untuk kelangsungan politik dan parti mereka. Malangnya, perbuatan mereka ini bukan sahaja mengelirukan, ia juga mempengaruhi rakyat untuk bangkit menentang. Dalam hal ini, kerajaan dipersalah sepenuhnya kerana gagal mengurus krisis kesihatan yang membawa pula kepada krisis ekonomi.
Sebenarnya kedua-dua krisis ini adalah isu sejagat. Dengan ini, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara. Dalam hal pandemik ini, penularan semula yang amat dahsyat sifatnya kini berlaku di seluruh dunia akibat varian tertentu yang didapati amat berbahaya. Israel yang disebut-sebutkan sebagai negara yang paling berjaya memeranginya ikut berhadapan masalah penularan semula. Begitu juga dengan Amerika Syarikat, hampir 50 negeri di dalamnya memperlihat peningkatan kes jangkitan yang tinggi lagi cepat.
Di Asia Tenggara, Indonesia merupakan tumpuan, yakni tempat berlakunya jangkitan yang amat dahsyat. Thailand, Filipina, Myanmar dan Vietnam juga tidak terkecuali daripada fenomena terbaru angkara varian virus baharu itu. Seperti yang berlaku di Malaysia, kemudahan merawat didapati bukan sahaja teruk terjejas, ia juga tidak mencukupi. Ini kerana kemudahan unit rawatan rapi (ICU) yang sempurna lagi baik memang tidak banyak tersedia di mana-mana pun. Oleh itu, dengan penambahan kes yang begitu mencanak ini, pastinya ia tidak dapat ditampung kesemuanya dengan baik, justeru tidak mampu dikendalikan dengan sempurna.
Walaupun begitu, ia cuba diatasi secepat dan sebaik mungkin melalui pelbagai cara oleh kerajaan. Oleh itu, tidak adil sama sekali apabila ada pihak yang mahu mempersalah kerajaan sebagai langsung tidak membuat apa-apa atau segala-gala yang dilakukan selama ini tidak pun memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Malang sekali dalam waktu segenting ini pun, ahli politik selaku pemimpin kita masih tidak mengetahui keutamaan yang diperlukan negara, khususnya semasa rakyat amat menderita dari segi ekonomi akibat pandemik ini, selain ratusan ribu yang dijangkitinya. Sehubungan itu, mereka ini didapati bukan sahaja terus-terusan bersengketa antara pembangkang dengan kerajaan, malah juga bercakaran sesama sendiri dalam kerajaan.
JEMU
Persengketaan itu tidak menghairankan sangat kerana itulah sifat politik, tambah-tambah lagi dalam sistem demokrasi. Sehubungan itu, pembangkang tidak akan jemu-jemu memberi tekanan kepada kerajaan sama ada ia wajar ataupun sebaliknya. Akan tetapi apabila berlaku cakaran dalaman dan sengit pula, ia bukan sahaja memperlihat adanya persaingan kuat untuk kuasa dan pengaruh dalam kalangan ahli, ia juga membawa kepada konflik terbuka yang ternyata amat menjejaskan urus tadbir negara. Ini kerana tumpuan sepenuhnya tidak dapat lagi diberikan kepada ehwal negara, khususnya dalam membela kehidupan rakyat yang amat terkesan kini.
Sebenarnya sudah banyak kali ahli politik diminta pelbagai pihak, termasuklah ketua utama negara agar bekerjasama dalam waktu genting ini untuk kepentingan negara.
Namun, ia langsung tidak diendahkan. Ini dapat dilihat, kekadang dengan amat jejas apabila pelbagai cara, baik yang bersifat eksploitasi, manipulasi dan sebagainya diguna pakai untuk sama ada terus berkuasa atau mahu merebut kuasa.
Sehubungan perkembangan begini, sesungguhnya politik negara kini berada pada tahap paling keji dan menjahanamkan. Banyak perkara yang berlaku khususnya semenjak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukan sahaja memperlihat politik negara begitu kacau-bilau, ia juga dahsyat dalam erti kata menjadi-jadi sehingga membawa kepada kegagalan politik antaranya dalam ahli politik berkhidmat untuk menangani masalah asas negara, lebih-lebih lagi yang berjangka masa panjang.
Sekiranya kecenderungan berpolitik sedemikian dilanjutkan selepas PRU 15, kita pasti akan menyaksikan politik negara tidak mampu berfungsi dengan baik lagi demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Dengan ini, negara akan ditimpa bencana dahsyat sebagai hasilan politik yang gagal diuruskan ahli politik kita. Apabila ini berlaku, negara bukan sahaja akan berhadapan dengan masalah ekonomi yang akan membebankan rakyat, Malaysia juga akan kehilangan pengaruh di persada dunia kerana tidak mampu lagi mengurus dirinya sendiri, apatah lagi untuk ikut memimpin dunia pada beberapa sisi tertentu. Oleh itu, insaflah wahai ahli politik agar menjadi ahli politik berguna dan bukan sebaliknya, ahli politik durjana.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










