Bunyi batuk pun takut - Utusan Malaysia

Bunyi batuk pun takut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah sekian lama berhadapan dengan pandemik Covid-19, ramai dalam kalangan kita sudah terbiasa dengan amalan prosedur operasi standard (SOP). Malah, saya pasti selepas berakhirnya wabak ini nanti, kita masih akan berasa serba salah apabila dihulurkan tangan untuk bersalaman dan tidak selesa apabila melihat orang ramai berkumpul dalam keadaan bersesak-sesak tanpa penjarakan fizikal.

Ketika virus ini mula menular di Wuhan, China, tidak ramai yang membayangkan negara kita bakal berhadapan dengan satu wabak berskala sebegini besar. Buat pertama kali, semua masjid dan surau di seluruh negara terpaksa ditutup kepada orang ramai. Sejak itu jugalah corak kehidupan kita terus berubah.

Berhadapan dengan musuh yang tidak dapat dilihat adalah satu situasi amat menakutkan bagi ramai daripada kita. Apalagi virus varian Delta yang begitu ganas dan merebak dengan sangat pantas. Kini jumlah kanak-kanak dan golongan muda yang dijangkiti dan meninggal dunia akibat Covid-19 juga agak membimbangkan.

Pengalaman penulis ketika menduduki peperiksaan SPM tatkala kadar kes harian sekitar 2,000 sudah sangat merisaukan.

Akibat daripada ini, ramai dalam kalangan kita yang hidup dalam kerisauan. Bagi golongan pelajar, kami terpaksa berhadapan dengan satu keadaan amat sukar dan tidak menentu. Apatah lagi bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan penting. Ramai yang tidak dapat membayangkan masalah yang dihadapi oleh calon-calon persendirian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyiapkan kerja kursus mereka dalam keadaan sebegini.

Pengalaman saya ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tatkala kadar kes harian sekitar 2,000 sudah sangat merisaukan. Bayangkan perasaan kami apabila terdengar bunyi batuk. Walaupun cuma batuk biasa, namun ia cukup merisaukan sesiapa yang berada berdekatan! Sehinggakan saya yang mempunyai masalah alahan berasa gelisah jika orang di sekeliling tidak selesa jika saya bersin walaupun saya menutup mulut.

Sebagai remaja, kami sudah tentu risau tentang masa hadapan dalam situasi dunia yang banyak berubah. Kadar pengangguran yang tinggi menjadikan peluang mendapatkan pekerjaan lebih sukar. Hari ini para pelajar memerlukan kemahiran tambahan agar mampu berdaya saing di pasaran pekerjaan. Realitinya, tidak mustahil sesetengah bidang kemahiran yang ditawarkan sekarang tidak lagi relevan di pasaran pekerjaan.

Tidak dapat dinafikan, ramai pelajar tertekan khususnya bagi mereka yang kurang mendapat sokongan daripada keluarga. Pada masa sama, ramai ibu bapa juga menghadapi pelbagai tekanan akibat masalah ekonomi sehingga terlepas pandang keadaan emosi anak-anak mereka. Keadaan ini mendorong kepada masalah ketidaksihatan mental. Jika hal ini tidak ditangani dengan tuntas, suatu hari nanti ia bakal mendatangkan masalah besar kepada negara.

Masalah ekonomi mendorong sesetengah pelajar untuk cuba mencari jalan menjana pendapatan sendiri. Cara paling mudah adalah menyertai skim perniagaan piramid yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat. Malangnya, ada yang terpedaya oleh janji manis daripada pihak-pihak yang cuma mahu mengambil kesempatan menangguk di air keruh.

Saya mengharapkan masalah yang melanda kini dapat diselesaikan dengan baik agar negara kembali makmur. Semoga Allah SWT mengembalikan kesejahteraan dan keselamatan di negara kita. Amin.

PENULIS ialah calon persendirian peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×