PETALING JAYA: Pelakon lagenda tanah air, Fauziah Nawi, menitipkan rasa rindu buat arwah anaknya yang juga seorang pengarah filem, Mohd Firdaus Mohammad Hanif, yang telah kembali ke Rahmatullah pada 27 Oktober 2019.
Menerusi coretannya entri Instagram, pelakon berkenaan tidak pernah melupakan anak kesayangannya itu walau sehari pun sejak pemergiannya.
“Setahun 275 hari anakku buah hatiku telah tiada. Namun sehari pun kau tak pernah aku lupakan hai anak belahan jiwa.
“Semoga Allah menerimamu, reda akan kamu, mengampunkanmu seperti aku memaafkan reda serta mengasihimu.
“Alhamdulillah, kau pernah dipinjamkan kepadaku selama hampir 43 tahun,” tulisnya bernada pilu di Instagram.
Terdahulu, anak pelakon veteran tersebut ditemui terapung 500 meter dari lokasi kejadian, yang dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaikinya ketika memancing, terbalik di Sungai Jelai, Kuala Lipis.










