Vaksin apolitical, bukan apology - Utusan Malaysia

Vaksin apolitical, bukan apology

Rakyat memerhati dan mengharapkan untuk melihat ahli-ahli Parlimen pilihan mereka berdebat tentang isu-isu lebih mendasar. – PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKA 15,000 kes Covid-19 sehari dialami negara hujung Julai ini menyamai jumlah di Indonesia, Jun lalu. Ini menakutkan buat Malaysia yang berpendudukan cuma 32 juta orang berbanding 271 juta rakyat Indonesia. Pada masa sama, jumlah kumulatif jangkitan di Malaysia kini melebihi sejuta kes.

Seluruh dunia sedang berjuang menangani pandemik ini dengan pendekatan masing-masing berdasarkan keadaan sosioekonomi dan dipengaruhi oleh politik semasa negara tersebut. Melihat pengalaman negara-negara lain mengurus pandemik, ada tiga perdebatan umum yang boleh dikemukakan dalam menilai cara pengurusan masing-masing.

Pertama, adakah negara dengan amalan demokrasi memberi ruang pelaksanaan yang lebih baik dalam menangani pandemik ini berbanding sistem diktator (atau bentuk kerajaan non-democracy lain)? Kedua, sejauh manakah kerajaan memerintah bersedia dan mempunyai kapasiti untuk menghadapi krisis kesihatan ini? Ketiga, sedalam mana isu kesenjangan dan ketidaksamaan ekonomi negara tersebut yang boleh memberi kesan lebih parah kepada semua rakyatnya?

Ketiga-tiga ini amat berkait rapat antara satu sama lain. Di Malaysia, ketiga-tiga isu ini sangat relevan apabila ruang demokrasi yang ada memberikan peluang untuk rakyat menilai cara kerajaan menangani pandemik dan lebih utama polemik yang berlaku menjadi petunjuk kepada tahap keyakinan rakyat terhadap polisi dan peraturan dikenakan dan inilah faktor paling penting dalam memastikan kejayaan segala usaha diperkenalkan.

Andainya keyakinan rakyat semakin menipis, apa pun program yang diperkenalkan, sebanyak mana pun insentif diberikan ia akan dipersoalkan. Tanpa keyakinan, secara perlahan akan menyumbang kepada kegagalan sesebuah kerajaan menangani krisis yang berlaku.

Di Malaysia, amalan demokrasi berserta kecanggihan teknologi yang ada menjadikan segala proses pelaksanaan dasar dan tindak tanduk pemimpin yang merupakan sebahagian daripada badan eksekutif dan ahli politik sebagai ahli legislatif sentiasa menjadi perhatian dan terdedah kepada penilaian terus oleh rakyat dan media sosial.

Sebarang kesalahan akan terus ‘dibicarakan’ dan ada ketika terus ‘dihukum’ oleh ‘mahkamah maya.’

Walaupun tidak dinafikan ada kebaikannya, namun implikasi yang lebih besar inilah manifestasi tahap kepercayaan rakyat terhadap sistem yang diperkenalkan dan secara langsung kerajaan semasa. Keadaan ini seterusnya membayangkan jawapan kepada perdebatan yang kedua iaitu apakah kerajaan semasa mempunyai kapasiti yang diperlukan dan kemampuan untuk menangani pandemik ini?

Pengalaman di negara lain memperlihat kedua-dua faktor ini boleh mengukuhkan keyakinan tetapi boleh juga meruntuhkannya bergantung sejauh mana kebijaksanaan dan tindak tanduk pemimpin terlibat. Di Malaysia, senarionya menarik untuk dinilai kerana walaupun selepas lebih setahun kita dilanda pandemik, sepertinya kita masih belum mempunyai pelan yang jelas dan kukuh yang boleh meyakinkan rakyat.

Rakyat mungkin yakin dengan dasar yang dikemukakan di atas kertas tetapi kerenah ahli politik melanggar peraturan tersebut dan seterusnya diberi layanan berbeza telah mencemarkan dasar tersebut. Ini ditambah dengan perdebatan ketiga – kesenjangan ekonomi yang membuatkan kumpulan rakyat yang terkesan berasa lebih kecewa dengan layanan bersifat ‘kayangan’ terhadap kumpulan ahli-ahli politik ini sedangkan mereka bertarung nyawa mematuhi peraturan yang dikenakan.

Ketidakpuasan hati atau amarah rakyat ini semakin mendalam dan meluas apabila kes semakin meningkat walaupun mereka ‘didaruratkan’ dan dikawal pergerakan sepenuhnya sudah lebih dari sebulan. Sebulan mungkin sekejap bagi mereka yang gaji bulanannya tidak terganggu, tetapi ia penderitaan yang amat panjang bagi mereka yang hilang sama sekali mata pencarian.

Dalam konteks menangani pandemik ini, rakyat memerhati dan mengharapkan untuk melihat ahli-ahli Parlimen pilihan mereka berdebat tentang isu-isu lebih mendasar, bukan hanya menularkan lawatan memberi bakul bantuan yang bersifat one-off.

Dalam keadaan yang semakin mencabar ini, kerja-kerja sebegini biarlah ribuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukannya. Malah cara mereka lebih berkesan kerana tidak melibatkan kepentingan politik dan lebih hebat lagi mereka menggunakan dana sendiri, bukan daripada peruntukan.

Sekadar seruan demi seruan untuk gencatan politik tidak akan mematikan virus Covid-19. Yang diperlukan adalah vaksin apolitical (tanpa politik) bukan amalan apology (memohon maaf) – budaya langgar peraturan kemudian minta maaf dan bayar saman. Semoga Parlimen yang bersidang juga bukan hanya mengikut SOP (prosedur operasi standard) tetapi juga SOOP (stay out of politicking).

Nyawa rakyat jadi pertaruhan!

Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Pusat Pengajian Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×