Aa Gym...pendakwah yang mencari reda-Nya - Utusan Malaysia

Aa Gym…pendakwah yang mencari reda-Nya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EBIT Lew, Caprice dan Nadir mendominasi carta laman sosial minggu lepas, pada masa sama – seorang pemimpin politik muda yang dihambat kes rasuah.

Suatu yang harus dibanggakan, komen-komen daripada orang-orang agama kita cukup meredakan. Mereka termasuk mufti mahu isu tiga individu ini tidak dipanjangkan.

Bangga dengan jiwa murni rakyat Malaysia mahu menjalankan tanggungjawab sesama Islam di bumi Gaza, tetapi usah ‘gaduh-gaduh atas sikit punya hal.’

Dalam perjuangan berkait agama, apa lagi ada ketika mengecap populariti sehingga digelar ustaz, daie atau pendakwah selebriti, sentiasalah beringat, “jalan perjuangan bukannya semua dilalui di depan bertar belaka. Ada banyak keadaan, perlu melalui jalan lopak dan berlubang.”

Teringat waktu saya berkunjung ke Bandung pada 2015 termasuk mengikuti kuliah seorang pendakwah terkenal di Pesantren Daarut Tauhiid, miliknya.

Aa Gym, suatu kisah teladan yang boleh diambil iktibar. Tahun 1990-an, pengajian di Jl Geger Kalong belum terlalu ramai. Hanya beberapa puluh orang yang setia mendengar ceramah seorang ustaz muda bernama Abdullah Gymnasiar.

“Dulu tertarik konsep bagaimana ikhlas. Bagaimana orang harus sabar. Jemaahnya hanya beberapa gelintir (sedikit) saja,” ujar Reza, seorang penduduk Geger Kalong yang menjadi pendengar setia Abdulah Gymnastiar alias Aa Gym. Hal itu disampaikan Reza dalam pertemuan dengan portal merdeka.com sekitar 2012.

Tidak ambil masa panjang, Konsep Manajemen Qalbu (MQ) yang dibangunkan Aa Gym kemudian menarik perhatian banyak orang. Konsep ‘jagalah hati’ ternyata disukai masyarakat. Terutama kalangan remaja dan ibu-ibu yang sedang semangat mempelajari agama.

Tidak lama selepas itu, pesantren Daarut Tauhiid berkembang pesat. Ini disusuli munculnya bisnes perniagaan milik Aa Gym. Kawasan sekitar Daarut Tauhiid di Jl Geger Kalong, Bandung naik menjadi kawasan perusahaan Manajemen Qalbu. Bermula dari hotel, pasar raya, penerbitan buku, pengacara majlis, aneka butik hingga radio dan televisyen. Aa Gym bahkan punya jenama minuman cola sendiri. Minuman berkarbonat itu diberi nama MQ Cola.

Puluhan ribu jemaah datang ke Jl Geger Kalong untuk bertemu Aa Gym. Warga di sekitar Jl Geger Kalong pun ramai-ramai mengubah rumah mereka menjadi homestay (inap desa) atau penginapan. Pengunjung yang datang tak lagi boleh ditampung di hotel sekitar Pasteur dan Jl Setiabudhi. Bukan hanya dari seluruh pelosok Indonesia, ada yang datang dari beberapa negara jiran termasuk Malaysia.

“Tahun 2005 sampai 2006, hampir setiap minggu kami membawa tamu dari Pekanbaru, Medan atau Surabaya ke Daarut Tauhiid. Satu rombongan biasanya 50 orang. Dulu bisnis pemandu wisata dan event organizer laku keras di Daarut Tauhiid,” akui Denny, mengenang detik manis agensi pelancongan miliknya. Ketika Daarut Tauhiid suram, bisnes travel milik Denny ikut bankrap sama.

‘TAUFAN’

Aa Gym menjadi ustaz yang paling popular saat itu. Beliau tidak pernah gagal untuk tampil di televisyen dan radio. Persis Aa Gym tak ubah selebriti yang diburu peminat tegarnya. Dia dijemput ke istana Presiden, silih berganti presiden mempelawanya hadiri majlis-majlis kebesaran negara, naik pesawat tempur, kenderaan diiringi polis, menunggang kuda, menyelam dan naik motor besar. Era tahun 2000-an, tidak ada ulama yang mampu menandingi populariti Aa Gym.

Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

‘Taufan’ menerpa Aa Gym. Pada 2006, sang kiyai mengakui dirinya bernikah lagi dengan seorang janda cantik bernama Alfarini Eridani atau Teh Rini. Pengagumnya yang kebanyakan ibu-ibu dan remaja, tak mampu menerima kenyataan itu. Badai mula menggoncang Aa Gym dan perniagaan miliknya.

Muncul gerakan memboikot MQ dan ceramah-ceramah beliau. Kunjungan ke Daarut Tauhiid mendadak susut. Bisnes Aa Gym satu persatu runtuh. Ratusan pegawai MQ mati kutu kerana Aa Gym tidak mampu membayar gaji mereka. Aa Gym selepas itu bertahun-tahun tidak muncul di media. Dia berasa dizalimi oleh media. Namanya pudar. Tiada sebarang khabar aktivitinya selain soal permasalahan rumah tangganya.

Isteri pertama Aa Gym, Teh Ninih atau Mutmainah meminta cerai. Pasangan yang dulunya selalu tampil mesra ini di khalayak ramai, akhirnya bercerai. Begitupun, keduanya bernikah kembali. Peranan Teh Ninih sangat besar dalam kehidupan Aa Gym. Wanita itulah yang selalu di sampingnya saat jatuh bangunnya, mendampingi suaminya yang pada awal kenal kehidupan, bekerja sebagai atendan parking dan jual surat khabar.

“Sejujurnya saya dulu sangat terperdaya oleh ujian popularitas (diuji populari, kemewahan), ujian kemudahan, kelapangan, kekaguman orang, dan itu membuat hidup jadi artifisial, jadi dakwah itu dikemas demi senang orang saja, bukan dakwah demi diridhoi (diredai) Allah, semoga Allah mengampuni,” terang Aa Gym.

Populariti Aa Gym kini tak seperti dulu. Kemunculan pendakwah-pendakwah baharu dan ustaz selebriti di Indonesia ‘melenyapkan’ Aa Gym. Namun, Aa Gym akur sudah tidak ambil peduli lagi soal populariti. Hidupnya hanya untuk mencari reda pencipta-Nya.

“Pantang bagi seorang mubaligh (pendakwah) untuk bersikap agar dia disukai jamaahnya, tidak diridhoi (diredai) Allah. Dakwah itu bukan mencari nafkah, popularitas, kekaguman,” kata Aa Gym.

IKTIBAR

Kisah kehidupan Aa Gym, ambillah pengajaran. Pendakwah harus memiliki ilmu yang tinggi dan mendalam, bukan diasaskan oleh populariti yang dicipta dengan tujuan lain. Pendakwah yang baik faqih dalam ilmu, ikhlas pekerjaannya untuk mendidik ummah. Dan mempunyai niat memajukan ummah dengan kebijaksanaan ilmu yang tinggi.

Jika pendakwah turut dijadikan sebagai bahan hiburan atau modal publisiti bagi meraih keuntungan pihak tertentu, nescaya lama kelamaan golongan agamawan yang sepatutnya bertindak sebagai pembawa obor ilmu hanya menjadi bahan gelak ketawa mereka yang tidak senang dengan Islam.

Pendakwah perlu ada kesedaran dan kematangan menyampaikan dakwah.

Jangan biarkan imej rakan sekeliling atau orang yang diharap menggerakkan event atau program, memalitkan imej hitam kepada diri pendakwah. Walaupun ada kalangan kawan-kawan dari latar belakang berbeza termasuk berlagak sombong, tapi bukanlah kawan-kawan itu mencerminkan diri pendakwah?

Kata seorang pengiring pesantren Daarut Tauhiid kepada saya pada 2015: “Bukan sekadar PA, isteri, anak-anak dia (Aa Gym) tetapi para santri (anak-anak pesantren), keperibadian akhlak mereka persis ceramah-ceramah yang diungkapkan Aa Gym.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×