DASAR Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dilancarkan pada 1 Julai 2021 merakamkan komitmen untuk berpaksi kepada kemanusiaan, manfaat teknologi, warisan budaya dan kesejahteraan rakyat. Ia juga mendukung pertumbuhan ekonomi yang terangkum, seimbang dan mampan di samping menguruskan risiko akibat perubahan 4IR, dalam kerangka nilai dan etika.
Allah berfirman: “…Dan Kami anugerahkan kepadamu (kemampuan untuk menggunakan) besi yang padanya terdapat kekuatan yang dahsyat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia…” Berasaskan ayat 25 surah al-Hadid ini, Muhammad Asad, pentafsir moden al-Quran menjelaskan, Allah mengurniakan insan dengan bakat dan kecekapan untuk menggunakan sumber alamiah.
Satu ketangkasan tanpa tara berbanding hidupan bernyawa lain terserlah dalam kepintaran manusia mencipta alat-alat perkakasan, perlengkapan dan perisian. George Beadle, pemenang Hadiah Nobel bidang fisiologi, dalam karyanya The Language of Life menyatakan, “Kera dan monyet mampu menggunakan peralatan, namun hanya manusia sahaja yang berupaya menciptanya.”
Bahan utama untuk mencipta alat-alat perkakasan malahan sebarang teknologi ialah besi. Dari segi jisim, logam besi unsur paling banyak membentuk planet Bumi (hampir 35 peratus) dan ia merupakan elemen kimia ke-10 terbanyak di alam sejagat. Besi boleh diguna untuk tujuan bermanfaat ataupun disalah guna dengan niat untuk merosak dan memusnahkan.
Ayat qur’an di atas menyatakan pada besi terdapat kekuatan yang dahsyat (ba’s shadid) yang tertonjol dalam senjata perang umumnya dan apa yang diistilahkan total war atau perang menyeluruh moden khususnya. Sedarkah kita tentang persenjataan hebat terkini dan betapa ngerinya pemusnahan besar-besaran yang mampu dicipta manusia melalui senjata berteknologi nuklear, kimia, radiologikal dan biologikal?
Friedrich Juenger, pujangga Jerman yang menjadi sukarelawan tentera dalam Perang Dunia Pertama merakamkan betapa teknologi persenjataan mampu menjahanamkan melampaui batas kemanusiaan: “(Man) is not even cut up like an animal that is taken to the butcher, nor neatly carved and disjointed like chicken: he is blown to pieces, crushed, torn to shreds.” Maksudnya, manusia tidak dikerat seperti ayam ternak dipotong oleh tukang sembelih sebaliknya dia diletupkan tinggal cebisan daging yang terobek dan hancur lumat.
Tetapi ada suatu lagi tenaga dahsyat lain yang terpendam dalam teknologi. Ramai pemikir seperti Lewis Mumford, Nicholas Berdyaev dan José Ortega y Gasset memanggilnya kemelut teknologi (the problem of technology).
Sementara bagi ramai penulis, kemajuan teknologi ialah sumber utama kemajuan manusia. Bagi sebahagian sarjana, teknologi ialah asbab kemerosoton fitrah insan dan institusi manusiawi (Charles Van Doren 1967). Kemelut tersebut mempengaruhi secara halus dalam kecenderungan manusia moden untuk semakin memajukan teknologi rumit tanpa kesudahan. Tertawan dengan kejayaan yang diraih melalui teknologi canggih, manusia kemudian tidak berdaya untuk menghilangkan pesonanya. Keghairahan sebahagian mereka yang fanatik terhadap kemajuan teknologi tampak semacam kegilaan.
ROH
Mementingkan mesin lebih daripada sifat kemanusiaan lama-kelamaan akan merenggangkan insan daripada pertalian rohaniah dengan alam semesta dan hakikat dirinya. Failasuf Mortimer Adler pernah memberikan pengamatan: “Of all the things in the universe, those which are most intelligible to us are the machines that we ourselves contrive and produce. We understand them better than we understand ourselves or any living organism that is besouled.” Maksudnya, daripada semua perkara di alam semesta, benda yang paling kita fahami adalah mesin yang kita sendiri cipta. Kita memahami mesin lebih mendalam daripada memahami diri sendiri atau organisme bernyawa yang memiliki roh.
Jacques Ellul, ahli falsafah dan profesor undang-undang Perancis, memantau bagaimana teknologi sebaliknya telah menakluk dan mengawal sains dan pengetahuan, bahkan teknologi telah menguasai semua kegiatan pemikiran dan secara halus menawan institusi sosial, politik, moral, pendidikan dan kesenian.
Sebagai tambahan, meskipun agama masih berperanan penting dalam sebahagian masyarakat, kebanyakannya lebih mementingkan ritual dan melupakan semangat agama pembangun peradaban. Daripada kefahaman yang cetek ini, roh agama terhakis dan budaya serta tamadun menjadi tandus tiada keindahan.
Aspek konsumptif teknologi inilah yang diberi amaran dalam ayat al-Quran tadi, iaitu aspek teknologi yang serakah mengeksploit isi bumi mencakupi manusia. Para pengkaji tersebut melihat bukti jelas bagaimana proses penjenteraan atau mekanisasi dan cara berfikir yang tidak menarik lagi imaginatif telah mengancam kerukunan masyarakat moden. Ia turut menyumbang kepada pudarnya keupayaan memahami panduan Ilahi yang bersifat akhlakiah dan rohaniah. Tinjauan Juenger dan lain-lain sarjana mendapati peningkatan kerosakan mental, keputusasaan, kebimbangan, kegelisahan dan gangguan jiwa ekoran kerja berterusan tanpa waktu beristirehat. Terdapat kemurungan, kebosanan, kesia-siaan, hilang punca dan keresahan. Dalam hal ini, Juenger menggemakan ramalan terdahulu Max Nordau, seorang doktor dan pengkritik sosial bahawa manusia tidak dapat bertahan dengan tekanan dunia moden.
Amaran al-Quran kepada manusia amat tepat tentang bahaya ini, teknologi berpotensi disalah guna akibat kejahilan makna diri sebenar yang menghasilkan kezaliman. Bahaya berlaku sekiranya manusia membiarkan kepintaran dan keligatannya mencipta teknologi menjadi tidak terkawal dan sebaliknya menakluk kepentingan rohaniahnya. Akhirnya, musnahlah peluang kebahagiaannya sama ada sebagai individu mahupun dalam rumah tangga dan masyarakat.
Dr. Mohd. Sani Badron ialah Felow Utama/Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











