DISEMBER tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran virus Covid-19 tidak semestinya yang terburuk.
Pandemik itu bukan satu-satunya malapetaka yang bermula daripada epidemik yang mengancam manusia. Wabak Kematian Hitam di Eropah (1348-1350) telah mengorbankan 25 juta orang.
Covid-19 yang kini sudah melewati setahun seolah-olah menayangkan semula babak-babak dunia dilanda malapetaka sedemikian.
Wabak Kematian Hitam menyaksikan manusia di sana yang digugat ketakutan dan kebimbangan mencuba pelbagai usaha, daripada mencari-cari dan mencuba-cuba ramuan penawar herba sehinggalah membunyikan genta atau loceng gereja.
Dalam setiap krisis, akhirnya yang memacu negara keluar daripada kegilaan akibat pelbagai wabak itu ialah pemimpin-pemimpin terutamanya daripada kerajaan. Setiap wabak meninggalkan bekas yang bukan sedikit kesannya ke atas masyarakat.
Dalam konteks wabak Kematian Hitam itu, peranan paus (pope) dipersoal rakyat manakala aturan sosial dan ekonomi negara tergugat sehingga sistem feudal diakhiri sama sekali di benua tersebut.
Kepemimpinan yang berkesan melibatkan soal watak dan perwatakan. Ia berkaitan akhlak, iaitu kualiti mental dan moral seseorang individu.
Digabung dengan barisan kepemimpinan yang dipacu integriti, kemahiran tertentu, daya intelek, berwawasan dan fokus.
Pada masa sama, sanggup membuat keputusan, sedia menerima kegagalan dan mengutamakan kesejahteraan orang lain terutamanya rakyat, sekali gus sesebuah kerajaan akan mengubah negara menjadi maju secara bermakna.
Semasa mula-mula dipertanggungjawab untuk membangunkan Singapura, Lee Kuan Yew menyimpulkan (dalam buku autobiografinya, From Third World to First, The Singapore Story: 1965–2000) bahawa untuk negara tersebut menjadi sebuah negara yang baik dan berkualiti, mereka memerlukan pemimpin-pemimpin yang juga baik dan berkualiti.
Alasan yang diberikannya agak mudah – sebaik mana pun sistem sesebuah kerajaan, pemimpin yang lemah dan buruk akhlak akan membawa kesusahan kepada rakyat.
CONFUCIUS
Jadi, apa yang dilakukan pada peringkat awal dahulu adalah dengan memberikan sepenuh perhatian kepada perkara-perkara yang melibatkan kuasa-kuasa budi bicara yang berkemungkinan disalahgunakan untuk tujuan dan kepentingan peribadi.
Gagasan Confucius yang mendasari doktrin junzi mengenai ‘kerajaan yang dibina oleh orang-orang yang baik dan mulia’ itu menjadi sistem nilai yang ditegaskan kerajaan itu ke atas setiap pemimpin mengenai besarnya tanggungjawab untuk berlaku betul dan hak kepada rakyat supaya dipercayai dan dihormati oleh penduduk.
Didorong kepercayaan bahawa kerajaan yang hebat dan berjaya mesti dipacu oleh jentera pentadbiran birokrasi dan kerajaan yang berwibawa, maka negara tersebut memastikan pendidikan digunakan semaksimum mungkin untuk mendapatkan tenaga kepakaran terbaik dan paling bijak untuk menerajui kerja-kerja penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar awam yang praktikal, realistik dan berkesan dalam menangani semua isu berkaitan kesejahteraan negara.
Untuk itu, keazaman politik dan usaha yang sangat berani dilaksanakan oleh kerajaan Singapura terhadap aspek penggajian pegawai-pegawai kanan awam supaya dipastikan terbaik, sebagaimana dibentangkan di Parlimen pada 1989 oleh Lee Hsien Loong. Elemen-elemen yang ditekankan termasuklah intelektualiti, kemahiran dan integriti.
Untuk menjayakan semua itu memerlukan sistem nilai yang sesuai dan berkesan. Sistem nilai seperti itulah yang disebut sebagai ‘nilai bersama’ dilazimi sebagai ideologi kebangsaan dengan tujuan utama untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan sebagai identiti rakyat negara tersebut sejak 1991.
Dengan kata lain, sebuah kerajaan terbaik dipacu oleh pemimpin-pemimpin politik dan perkhidmatan awam yang mempunyai nilai dan pertimbangan politik yang betul dan murni serta diperlengkap dengan tatakelakuan peribadi dan awam bernilai tinggi.
Dalam situasi normal, tanpa sebarang krisis atau konflik dan seumpamanya, sesebuah negara tidak akan benar-benar teruji daya kepemimpinan ahli-ahli eksekutifnya.
Bagaimanapun, apabila dilanda sesuatu krisis atau musibah yang tidak dijangka, kewibawaan sebenar setiap pemimpin mula terserlah.
Keupayaan mereka mula diperhatikan dengan teliti dan dinilai oleh rakyat khususnya. Pengalaman yang dilalui banyak negara sebelum ini memberikan petunjuk jelas betapa kepemimpinan sentiasa ada destinasi atau perhentiannya.
Sehebat mana sekalipun daya pimpin dan kewibawaan pemimpin, akan sampai waktu tertentu peralihan akan tetap berlaku terutamanya yang didorong rakyat.
Persoalan penting yang timbul di sini adalah, bersediakah kerajaan dan parti-parti politik memperkuatkan azam politik masing-masing untuk mengubah ke arah lebih baik berpandukan sebegitu banyak pengalaman negara dan kerajaan di dunia ini dalam menangani situasi tidak tentu?
Adakah kepimpinan sekarang cukup kompeten dalam menangani masalah pandemik sekarang?
Kerana kita lihat sejak beberapa bulan lepas walaupun dilaksanakan darurat dan pelbagai pendekatan, kes makin menaik dan jumlah kematian makin meningkat.
Ledakan emosi dalam kalangan sebahagian besar awam mula mendesak mereka untuk mempersoal apa sahaja isu yang menyangkut kesejahteraan negara.
Ini termasuklah persoalan sama ada barisan kepemimpinan sekarang benar-benar kompeten dan layak. Ada mata lihat, ada akal fikir-fikirkan!
DATUK Dr. Nasrudin Mohammed ialah Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.











