Haram tetap haram, tak kira siapa - Utusan Malaysia

Haram tetap haram, tak kira siapa

Sedar tentang status haram sejak dari mula lagi, tentunya pekebun haram terbabit sendiri sudah mengambil kira elemen-elemen risiko. – UTUSAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adalah malang apabila kerja-kerja penguatkuasaan yang kerajaan negeri Pahang laksanakan ke atas penerokaan tanah secara haram masih dilihat oleh segelintir pihak sebagai berbaur perkauman. Ini sepertimana terkini, susulan kerja-kerja penguatkuasaan ke atas kawasan seluas 101.17 hektar dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub membabitkan pekebun-pekebun haram durian musang king.

Tindakan ini di sebalik penegasan serta bukti yang ditunjukkan selama ini di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa kerja-kerja penguatkuasaan adalah melampaui sempadan kaum.

Bahawasanya penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah atas prinsip asas, iaitu haram tetap haram tanpa mengira siapa pun pelaku, di mana pun ia berlaku serta tempoh masanya berlaku.

Kerja-kerja penguatkuasaan membanteras penerokaan tanah secara haram sebelum ini dan kejayaan memulihara kembali alam sekitar tercemar akibatnya adalah manifestasi atau bukti kecuali bagi segelintir mereka yang terus berada dalam state of denial.

Misalnya, di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat, kerja-kerja penguatkuasaan di situ membabitkan masing-masing 24 pekebun India dan Cina dan di Lembah Bertam, 99 pekebun Cina dan 21 pekebun India.

Di Kechau, Lipis pula, penguatkuasaan ke atas perlombongan emas tanpa kebenaran membabitkan Melayu, kesemuanya atas 14 lot tanah milik sendiri dengan setiap lot ada senarai nama panjang pemilik bersama.

Begitu juga baru-baru ini apabila kerja-kerja penguatkuasaan sama dilakukan di sekitar Tasik Chini, Pekan dalam usaha membendung aktiviti perlombongan bijih besi yang mencemarkan oleh ada antaranya pihak berlesen yang diperolehi sebelum 2019 lagi.

Kerja-kerja penguatkuasaan dalam kawasan HSK Batu Talam kali ini sebenarnya ialah operasi biasa tetapi telah mendapat bantahan serta provokasi dengan kata-kata kesat dikeluarkan ke arah pegawai dan kakitangan penguatkuasa. Antara bantahan itu termasuk dakwaan kononnya operasi penguatkuasaan kali ini melanggar perintah Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 5 Januari 2021, susulan pekebun haram terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian musang king.

Dakwaan ini tidak benar kerana kerja-kerja penguatkuasaan kali ini ialah di luar kawasan kebun durian yang dimaksudkan yang dipajakkan kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. (RPDRP) – usahasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) – sebuah agensi kerajaan negeri dengan pihak swasta.

Operasi serta kawasan dijalankan penguatkuasaan ini juga setelah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri yang sebelum itu telah merujuk perkara ini kembali ke Mahkamah Rayuan sama. Sebelum keputusan injunksi oleh Mahkamah Rayuan berkenaan, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember 2020 telah pun menolak permohonan pekebun haram tersebut untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang sama.

KEJAM

Mahkamah Tinggi sama turut mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Dalam pada itu, sentimen simpati dimainkan termasuklah mempertikaikan kenapa kerja-kerja penguatkuasaan kali ini dibuat ketika pokok-pokok durian berkenaan sedang berbuah, seolah-olah satu tindakan kejam dan menganiaya. Begitu juga dipertikaikan kenapa kononnya, dakwa mereka, setelah 20 tahun pekebun haram bertanam di kawasan HSK Batu Talam itu, baru sekarang hendak mengambil tindakan penguatkuasaan?

Kepada pertikaian-pertikaian ini, sudah tentu yang paling asas ialah – haram tetap haram, waima apa sekali pun alasan atau reverse psychology yang dimainkan untuk meraih simpati rakyat.

Sedar tentang status haram tersebut sejak dari mula lagi, tentunya pekebun haram terbabit sendiri sudah mengambil kira elements of risk yang mana keadaannya bolehlah umpama untung sabut timbul, untuk batu tenggelam. Jika selama 20 tahun lalu mereka sebagai risk takers menikmati ‘untung sabut’, maka kali ini atas risiko yang mereka sendiri juga berani ambil, terimalah habuan daripada ‘untung batu’ pula.

Kepada persoalan kenapa perlu tindakan penguatkuasaan dilakukan sekarang sedangkan sekarang ialah musim pokok berbuah, saya tertarik dengan analogi oleh seorang peguam yang lebih dikenali sebagai Apek Cina. Dia umpamakan serbuan polis ke atas premis memproses dadah jenis kanabis yang takkanlah pemprosesnya boleh meminta polis membenarkan mereka menghabiskan pemprosesan haram itu sebelum ditahan?

Kenapa sekarang, tidak 20 tahun lalu? Kita boleh bertanya kembali, kenapa tidak boleh sekarang? Apatah pula sekarang apabila kerja-kerja haram mereka di kawasan terpencil yang sukar dikesan sebelum ini telah mula terbongkar dan pihak penguat kuasa mempunyai keupayaan untuk membanterasnya. Sementelah pula, kerajaan negeri yang cemerlang dengan kejayaan-kejayaannya di Sungai Ichat dan Lembah Bertam dan dijadikan penanda aras bagi kerja-kerja penguatkuasaan ke atas apa juga jenis pencerobohan tanah secara haram di negeri ini, ingin terus konsisten dengannya.

Sudah ternampak kini majoriti rakyat khususnya di Pahang memberi sokongan padu atas usaha-usaha dan ketegasan kerajaan negeri dan diharap sokongan diteruskan demi menegakkan kebenaran dan kedaulatan undang-undang.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×