Nelayan asing 'rompak' hasil laut negara - Utusan Malaysia

Nelayan asing ‘rompak’ hasil laut negara

PEMERIKSAAN ke atas sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Menggunakan bot klon tempatan, memasang Jalur Gemilang dan mengecat badan bot sama dengan warna bot nelayan tempatan antara taktik nelayan  asing mengaburi mata pasukan keselamatan untuk mengaut rezeki di negara ini.

Nelayan asing  terutama Vietnam itu juga  sanggup mengharungi laut bergelora musim tengkujuh semata-mata untuk  terus `merompak’ hasil laut negara kerana beranggapan pihak berkuasa sukar menghidu kegiatan mereka ketika itu.

Namun, mendedahkan  kepada Utusan Malaysia, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaakub berkata, tanggapan nelayan asing tersasar tersasar kerana pihaknya tidak pernah ‘leka’  menjaga kedaulatan perairan negara.

Menurut  beliau, sejak 2019 hingga bulan lalu, sebanyak 7,028 pemeriksaan dilakukan Maritim Malaysia Kelantan ke atas  bot nelayan warga asing dan  tempatan di seluruh perairan negeri ini.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 14 bot asing dan 12 bot tempatan ditahan bersama 56 nelayan Vietnam, 15 nelayan Thailand, tiga nelayan Myanmar, empat nelayan Kemboja dan tiga nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 11 bot asing dan sebuah bot tempatan ditahan bersama 56 nelayan Vietnam, lima nelayan Thailand, empat nelayan Kemboja dan dua nelayan bot tempatan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Muhd. Nur Sham berkata, di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, pemilik bot atau tekong asing boleh didenda sehingga RM6 juta manakala awak-awak  sehingga RM600,000 setiap seorang bagi kesalahan menceroboh perairan negara.

Katanya, pencerobohan bot nelayan asing di perairan Kelantan masih  terkawal dengan pelaksanaan Op Naga Barat oleh Maritim Malaysia bersama pasukan penguat kuasa lain sejak 2 Mei 2019.

Menurut beliau, pencerobohan kini terus berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimulakan sejak Mac tahun lepas.

“Sepanjang PKP ini, kita mengambil langkah pengusiran dan merosakkan peralatan menangkap ikan milik nelayan asing. Ini dilakukan bagi mengelakkan  jangkitan import Covid-19,” jelas beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, pada 24 Jun tahun lalu, arahan pengusiran ditarik semula dan pihaknya dibenarkan menangkap mereka dikuatkuasakan.

“Dalam masa sama, Op Kuda Laut diperkenal sebagai langkah aktif membanteras kemasukan bot nelayan asing ke perairan negara khususnya Pantai Timur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Nazri Ishak berkata, hasil laut jauh lebih lumayan berbanding di negara sendiri menjadi daya penarik kepada nelayan asing terutama dari Vietnam menceroboh perairan negara  biarpun mereka berisiko ditangkap dan berdepan hukuman berat.

Difahamkan, hasil laut negara asal kebanyakan nelayan asing semakin berkurangan berikutan cara penangkapan ikan menggunakan pukat tunda ganding secara berleluasa sehingga merosakkan ekosistem laut.

Menurut Nazri, langkah kerajaan mewujudkan zon tertentu dan membina tukun tiruan di perairan negara membantu kelestarian bekalan ikan bagi menampung permintaan rakyat berterusan.

“Ini menjadi satu daya tarikan kepada nelayan asing terutama dari Vietnam menceroboh dan seterusnya merompak hasil laut negara.

“Bagi mengekang pencerobohan, Jabatan Perikanan Kelantan bekerjasama dengan Maritim selain dibantu nelayan tempatan yang sering menyalurkan maklumat kepada kita,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×