BOHONGLAH jika dia mengatakan tidak terasa dengan situasi yang berlaku dan menimpa dunia seni hiburan tanah air kini.
Tiada petanda diberi peluang untuk kembali bekerja, sementara masing-masing sedang cuba bernafas untuk hidup, seputar 360 darjah. Akan terdengar sahaja keluh kesah rakan-rakan seangkatan yang semakin lama semakin tunduk menyerah kalah kepada situasi pandemik ini.
Bagi Nadiya Nisaa, keadaan ini begitu perit untuk dilalui. Apalagi semua tahu, baik artis mahupun bekerja belakang tabir termasuk kru, bukanlah penerima gaji tetap secara bulanan sebagaimana pekerja kerajaan misalnya.
“Saya juga sedang dalam keadaan berjimat-cermat. Tidak mahu boros dalam melakukan pembelian yang bukan keperluan kerana pada waktu ini, itu bukan satu keutamaan. Oh ya, memang tak ada berbelanja sangat sekarang ini.
“Sekurang-kurangnya, saya fikir, enam bulan lagi merupakan tempoh yang sukar untuk kita semua lalui memandangkan sehingga kini tiada sebarang petanda situasi akan segera pulih.
“Sekarang ini, memang seminggu sekali sahaja saya beli barang keperluan dan cuba hadkan bajet tertentu ketika membeli. Ia tak mudah, tapi saya kena pastikan sekurang-kurangnya duit simpanan yang ada mampu menampung keluarga dalam tempoh enam bulan ini,” katanya.
Menurut bintang filem Cun dan drama Ayat-Ayat Halal ini, dia bagaimanapun bersyukur kerana sebelum pandemik berlaku, dirinya sudah memiliki perniagaan makanan dan tudung selain bergantung kepada kerjaya lakonan.
Pun begitu, dalam tempoh sekarang, mungkin agak sukar untuk mana-mana perniagaan produk mendapatkan keuntungan lebih memandangkan pengguna dan pembeli kini semakin berkira-kira untuk mengeluarkan wang.
“Sekarang ini banyak menggunakan platform media sosial sebagai usaha untuk meneruskan aktiviti perniagaan. Tak boleh nak nafikan, kuasa beli sekarang sudah semakin menurun berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas.
“Kalau ikutkan dalam hati ini, adalah juga rasa panik itu. Iyalah, mana nak memikirkan soal kelangsungan hidup dan sebagainya. Tapi kalau tidak cuba bertenang, susah juga nanti,” katanya.
Sistem sokongan kena kuat
Selain itu, menurut Nadiya, bagi mengurangkan rasa tertekan atau mengelak dihimpit negativiti dalam keadaan sukar sekarang, seseorang itu harus mempunyai sistem sokongan yang kuat agar tidak terjerumus ke arah kemurungan.
Baginya, aspek itu amat penting memandangkan amat mustahil untuk berterusan hidup tanpa sebarang hubungan dengan manusia yang lain.
“Bila berlaku pandemik begini dan kita pula terpaksa menjalani hidup berkurung, saya kini mengerti keperluan tubuh badan manusia. Saya dan suami ada ketika terfikir, betullah bahawa manusia ini memerlukan alam dan manusia lain selain ibadah dan kerja,” katanya.
Sayangi diri, keluarga anda
“Semua ini saling berhubungan. Bila Allah SWT tarik satu nikmat ini, ia akan menjejeaskan kitaran keperluan dan perkembangan itu. Suka atau tidak, kita kena akui perkara itu.
“Contohnya, macam saya tengok perkembangan anak sendiri. Macam dalam permainan. Tenaganya semakin berkurangan kini kerana sekelilingnya tidak lagi sama macam sebelum ini. Ia adalah sesuatu yang harus dibendung supaya tidak melarat kepada kemurungan dan sebagainya,” katanya.
Pun begitu, pelakon berusia 36 tahun ini bersyukur kerana setakat ini dia mampu mengekalkan kewarasan minda dan jiwa dek perasaan perlu bertahan demi keluarga.
Katanya, terutama buat kaum ibu dan isteri, adakala golongan sepertinya terlupa untuk menjaga dan mengasihi diri sendiri kerana terlalu mahu meletakkan keutamaan kepada suami, anak dan keluarga.
“Saya percaya, sebagai ibu dan isteri, kita perlu jaga diri kita dengan sebaiknya supaya dalam kesibukan menguruskan keluarga, kita tidak mengabaikan kesihatan dan kewarasan diri.
“Satu daripada cara saya untuk mengatasi situasi itu adalah dengan membanyakkan membaca. Adakala saya cuba periksa juga keadaan diri menerusi pembacaan mengenai kesihatan tubuh badan supaya dapat mengetahui diri dalam posisi yang tenang.
“Maklumlah, adakala saya pun terasa cemburu dan stres juga bila tengok ada kalangan adik-beradik yang perlu bekerja dalam situasi kini dan tidak terperuk di rumah macam saya. Jadi saya cubalah buang perasaan itu dengan menyibukkan diri,” katanya.
Kita mahu bekerja
Menurut Nadiya lagi, sebagai seorang individu yang sudah terbiasa bekerja dan mempunyai jadual yang padat dengan aktiviti seni, sudah tentu terasa asing apabila terpaksa melupakan sebentar perihal kerjaya demi akur dengan perintah kerajaan.
Malah kata pelakon ini, jauh di lubuk hati, berkali-kali meronta untuk keluar daripada belenggu ini sementelah lebih berasa hidup jika dapat kembali melakukan pekerjaan.
“Memang betul pun. Kita nak bekerja sebab kita boleh bekerja. Industri lain boleh beroperasi kenapa industri seni ditutup secara total? Kita tengok negara lain, mereka ada pelan baru tentang bagaimana nak hidup dalam norma baharu ini.
“Misalnya Thailand dan Singapura, mereka dah sediakan langkah-langkah untuk hidup dengan norma baharu dan ‘berdamai’ dengan Covid-19 dan pandemik ini.
“Kalau negara lain boleh buat macam itu, saya harap Malaysia pun tidak lama lagi boleh aplikasikan cara yang sama. Kita sama-samalah berdoa dan tak putus asa.
“Saya percaya pasti akan ada penyelesaian terbaik untuk semua ini asalkan semua pihak dapat ketepikan dahulu sebarang sengketa atau ketidakpuasan hati peribadi.
“Sekarang adalah masa untuk bantu semua orang yang terjejas dan bangkit semula,” katanya.










