Mukadimah
Esok, umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Satu lagi perayaan besar dalam kalender Islam. Bagi yang mengerjakan ibadat haji, hari ini adalah kemuncak iaitu berada di bumi Arafah.
Ibadat sunat yang amat dituntut kepada umat Islam pada hari raya ini adalah menyembelih haiwan korban. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWt yang bermaksud: Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan. (al-Kauthar: 2)
Bagaimanapun, disebabkan kurang kefahaman, berlaku beberapa insiden yang boleh mencacatkan ibadat korban itu. Lebih parah yang membawa kepada buat korban tapi dapat dosa.
Bagi merungkai beberapa persoalan tentang ibadat ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Pengurus Unit Syariah & Antarabangsa PPZ, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), AHMAD HUSNI ABDUL RAHMAN.
UTUSAN: Bagaimana memastikan ibadat korban yang dilakukan saban tahun kekal sebagai ibadat dan bukannya adat?
AHMAD HUSNI: Pertamanya setiap individu kena tahu beza antara adat dan ibadat. Inilah pentingnya pendidikan agama yang perlu dipasak kemas bermula dari usia awal.
Masyarakat perlu diberi penekanan dan kefahaman yang jelas bahawasanya ibadah korban ini merupakan satu syiar Islam yang agung.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu. Pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (al-Hajj: 36)
Selain itu, Nabi s.a.w bersabda: Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak di hari kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu jatuh ke tanah, pahala korbannya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan pahala korban itu. (Riwayat al-Timidzi)
Maka jelaslah, ibadah korban bukanlah adat yang dilakukan oleh sebilangan masyarakat semata-mata. Namun terisi padanya keagungan syiar dan pahala serta ganjaran yang menjadikannya sebuah ibadat yang amat dituntut.

Dalam mazhab Syafie, korban adalah sunat muakkad, namun dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda yang antara maksudnya, jika kamu mampu tetapi tidak melakukan korban, jangan hampiri tempat solat kami. Apa maksud yg tersirat di dalamnya?
Hal ini adalah bersumberkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang memiliki kelapangan (rezeki) dan tidak berqurban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami. (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Meskipun dalam mazhab Syafie dan hatta jumhur ulama sekalipun berpandangan hukum korban adalah sunat muakkad, namun apabila berkaitan dengan kemampuan melaksanakannya maka seolah-olah menjadi satu ‘kewajipan’ yang terkhusus kepada mereka yang punya kelapangan.
Ukuran kelapangan dan kemampuan ini turut dijelaskan oleh sebahagian ulama adalah di kalangan mereka yang memiliki harta yang mencukupi nisab zakat.
Antara hikmahnya sebagaimana disebut oleh Sheik Muhammad al-Amin al-Syinqithi rahimahullah dengan katanya: “Janganlah meninggalkan ibadah korban jika seseorang mampu untuk menunaikannya. Kerana Nabi SAW sendiri memerintahkan dalam sabdanya: “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu dan ambil perkara yang tidak meragukanmu”.
Selayaknya bagi mereka yang mampu agar tidak meninggalkan ibadah korban. Ini kerana dengan berkorban akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan. Itulah yang dimaksudkan dengan perkara yang tidak meragukan berdasarkan hadis Nabi SAW tadi.
Mewajibkan ibadah korban kepada semua menafikan maqasid syariah. Sebabnya, ia mungkin membebankan bagi yang tidak berkemampuan.
Sebaliknya bagi yang mampu sewajarnya tidak mengabaikan ibadah ini kerana seolah-olah sebab syarak kepada penunaiannya terkait secara tidak langsung dengan aspek kemampuan seseorang.
Jadi, menghimpunkan antara dalil umum yang membawa kepada hukum sunat muakkad dan dikhususkan dengan ancaman daripada hadis Nabi SAW terhadap mereka yang berkemampuan, tidaklah dianggap sesuatu yang bersifat berlawanan. Bahkan ia menyokong antara satu dengan yang lain.
Selain itu, ancaman Nabi SAW agar tidak mendekati tempat solat Aidiladha bagi yang meninggalkan korban dalam keadaan mampu adalah sebagai bentuk hukuman terhadap sifat bakhil mereka yang menghalang daripada memberi kebahagiaan kepada penerima daging korban.
Sebagaimana kebahagiaan itu terhalang, begitulah mereka dihalang daripada menerima doa dan kebahagiaan menunaikan solat Aidiladha.
Walaupun begitu, larangan ini tidak berkaitan dengan hukum sah atau tidaknya solat Aidiladha jika ia tetap dilakukan.
Dalam berkorban kita disunatkan mencari haiwan yang sihat, gemuk dan cukup sifat. Demikian juga iktibar daripada kisah Qabil dan Habil.
Bagaimanapun ada dalam masyarakat sekarang yang mencari korban yang paling murah apabila mahu melakukan ibadat ini? Adakah ia dibolehkan dalam agama?
Dalam al-Quran, Allah SWT telah memberi satu input yang jelas serta isyarat yang amat tepat berkaitan menentukan pilihan dalam beribadah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (al-Baqarah: 267)
Jika sesuatu yang tidak sempurna itu dianggap jelek dan tidak dipandang oleh makhluk tatkala menerimanya apatah lagi sesuatu yang dilakukan untuk dipersembahkan kepada Allah Yang Maha Esa?
Inilah perumpamaan bagi mereka yang sengaja memilih yang paling murah dan paling rendah kualitinya secara sengaja kerana beralasan cukup hanya sekadar meraikan keabsahan dan ibadah tersebut asalkan tertunai.
Ini adalah sikap yang dianggap meremehkan urusan ibadah dengan Allah SWT jika dilakukan secara sengaja. Kecualilah bagi yang kurang mampu. Namun punya pilihan untuk melaksanakan ibadah korban dengan kadar yang lebih rendah, maka itu tidak mengapa.

Secara umumnya, memilih yang murah tidaklah menjadikan korban itu tidak sah. Namun ia dilihat dalam aspek kesempurnaan ibadah itu sendiri yang terkesan dan turut mencalar akhlak seorang hamba kepada Tuhannya. Ini kerana ibadah tersebut tidak dilakukan dalam keadaan yang terbaik sedangkan mampu dilakukan sedemikian.
Inilah hikmah dan isyarat yang tersirat sebenarnya dari kisah Qabil dan Habil tatkala Allah menerima pengorbanan yang dilakukan Habil yang diambil daripada haiwan yang paling berkualiti.
Apakah keutamaan berkorban di tempat sendiri berbanding di luar negara? Kalau mahu berkorban di luar negara apakah hal yang perlu diberi perhatian supaya korban itu agihannya sampai kepada golongan yang sepatutnya?
Ini perlu dilihat kepada konteks dan keadaan. Kedua-duanya tidak menjadi masalah, sama ada dibuat korban di negara sendiri atau di luar negara. Keutamaannya bergantung kepada setiap individu, masyarakat dan keadaan negara.
Apatah lagi jika korban di luar negara mampu memberi ruang kepada yang tidak berkemampuan melakukannya di dalam negara kerana faktor harga.
Jika misalnya kawasan tempat kita tinggal, tiada yang melaksanakan ibadah korban, maka sudah jelas ia perlu dilakukan di tempat tinggal atau kawasan yang kita berada di sekitarnya. Hatta di dalam negara sekalipun terdapat beberapa kawasan dan masyarakat yang daif dan dilanda kemiskinan yang lebih memerlukan.
Perkara yang harus diberi perhatian jika mahu berkorban di luar negara adalah pihak yang diwakilkan untuk melaksanakan ibadah tersebut.
Perlu dipastikan setiap syarat wakalah (perwakilan melakukan ibadah korban) dilakukan dengan dengan jelas dan setiap rukun dan syarat sah ibadah korban itu dilaksanakan dengan sempurna dan agihan dilakukan mengikut kehendak syariat.
Pastikan juga organisasi, pertubuhan atau pihak yang melakukan ibadah tersebut adalah yang berdaftar, boleh dihubungi dan bersikap telus dengan menghantar bukti ibadah korban tersebut telah dilaksanakan.
Jangan mudah percaya kepada pihak yang tidak dikenali atau mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan dan memanipulasi keadaan.
Untuk itu, bolehlah merujuk garis panduan ibadah korban yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyatakan:
Pihak persatuan, agensi atau syarikat luar negara hendaklah menjelaskan perkara-perkara berikut:
* Urusan jual-beli seperti akad, jenis haiwan korban dan fizikal haiwan yang cukup syarat;
* Kadar harga bagi satu bahagian korban yang ditawarkan oleh syarikat atau persatuan;
* Menetapkan kadar kos pengurusan semasa di awal akad bukan selepas akad;
* Menetapkan kos pengurusan yang terlibat di luar negara selepas akad adalah ditanggung oleh persatuan, agensi atau syarikat dan bukan pihak individu.
Apa-apa jumlah wang yang diberi kepada pihak pengurusan korban yang dilantik sebagai wakil untuk menguruskan korban di luar negara adalah terlaksana selagi mana wang berkenaan dibelanja mengikut akad yang telah dipersetujui. Akad tersebut hendaklah:
* Akad penyerahan dengan lafaz yang khusus, bukan lafaz am kerana lafaz am mengandungi ketidakjelasan (gharar);
* Menjelaskan tentang jenis, sifat dan kadar harganya;
* Orang yang menjadi wakil, tidak boleh mewakilkan kepada orang lain, kecuali mendapat izin daripada pewakil (muwakkil) atau wakil tidak mampu melaksanakannya.
Adakalanya dalam melaksanakan korban, ada bahagian tertentu lembu yang hilang atau disorokkan. Selalunya ekor dan batang pinang. Apakah hukum berbuat demikian?
Ini dianggap sebagai pelanggaran amanah dan melanggar hukum perwakilan dalam ibadah korban. Bahkan ada yang menghukumkan sebagai mencuri kerana mengambil sesuatu yang belum dibahagikan dan bukan haknya.
Perbuatan ini adalah haram hukumnya. Jika ada yang telah melakukannya maka wajib bertaubat dan berazam agar tidak mengulanginya lagi.
Seperkara juga perlu diingatkan kepada pihak yang menguruskan ibadah korban seperti masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya, jika hendak mengambil sedikit daging yang telah dikorbankan tersebut untuk dimasak dan diberi kepada petugas korban, maka wajib meminta izin daripada empunya lembu korban tersebut terlebih dahulu dan memaklumkan kepada mereka.
Jika tidak diizinkan, maka hukumnya juga adalah tidak boleh dibuat sedemikian kerana melanggar hak pembahagian daging korban.
Kita disuruh bersifat ihsan semasa menyembelih ternakan korban. Namun adakah perbuatan seperti naik atas lembu beramai-ramai dan tidak melepaskan ikatan pada kaki selepas disembelih itu bersalahan dengan ihsan?
Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa. (Riwayat Muslim)
Imam Muslim dalam syarah Sahih Muslim menyebutkan termasuk sikap ihsan terhadap haiwan adalah tidak menyembelih haiwan di hadapan haiwan-haiwan lain yang akan disembelih, tidak membawa haiwan ke tempat sembelihan dengan cara yang kasar, dan memilih cara yang paling mudah dan yang paling kurang menimbulkan rasa sakit.
Perkara ini ada implikasinya. Jika perbuatan naik ke atas lembu beramai-ramai itu menyebabkan haiwan korban itu menjadi sesak nafas dan mati kerana tekanan berat, maka korban tersebut dianggap tidak sah dan matinya bukan kerana sembelihan. Ini yang harus difikirkan.
Adapun perbuatan mengikat kaki lembu jika tidak dalam keadaan menyeksa atau menyakitkan itu tidak mengapa.
Apapun, seni mengurus haiwan korban perlu ditekuni dan dipelajari agar tidak dilakukan perkara-perkara yang menafikan maksud ihsan kepada haiwan korban tersebut.










