Neon Band pertaruh Aku Budak Boy - Utusan Malaysia

Neon Band pertaruh Aku Budak Boy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS ramai pendengar disajikan dengan lagu Aku Budak Girl nyanyian pempengaruh Tik Tok, Suekhaizhar, kini muncul pula lagu tersebut dalam versi lelaki dengan judul Aku Budak Boy.

Mungkin percaturannya dianggap klise, bagi kumpulan Neon, mereka tidak merasakan ia menjadi satu kesalahan seandainya lagu nyanyian Suekhaizhar itu dijadikan sebagai inspirasi sekali gus sebagai tanda pengenalan buat semua pendengar.

“Sebagaimana yang ramai tahu, lagu Aku Budak Girl mendapat perhatian dengan pencapaian video paling trending di YouTube untuk satu tempoh yang panjang dan jumlah tontonan video lirik lagu tersebut mencapai 3.8 juta setakat ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami fikir apa salahnya jika lagu itu disusun semula dengan suntikan muzik yang lebih catchy dan menarik dan tentunya disajikan dengan nuansa berbeza untuk versi lelaki pula,” kata vokalis kumpulan tersebut, Boy.

Menurut Boy lagi, lagu Aku Budak Boy itu sengaja dihasilkan dengan bait-bait nada balasan kepada lagu Aku Budak Girl yang mana, liriknya lebih berunsur positif dengan memberi semangat kepada Girl dan penyanyi Suekhaizhar yang mendapat kecaman warganet.

“Lirik asal lagu ini ada bahagian yang ditukar. Seperti semua tahu, lagu asal ini terkenal dan tular tetapi banyak juga dikecam dan dikeji.

“Jadi, lirik lagu ini adalah balas balik kepada lirik lagu Aku Budak Girl yang memberi semangat pada Girl dan penyanyi tersebut,” katanya.

Ditanya tidakkah dia dan Neon Band bimbang jika dikatakan menumpang populariti lagu lain, Boy mewakili kumpulan itu mengakui masing-masing akan mendapat ‘keuntungan’ dan kelebihan.

“Bagi saya, dalam bidang muzik kena bijak untuk buat keputusan. Sebagai contoh, kalau kami keluar lagu lain ketika saya pula masih baharu pasti lebih sukar untuk mendapat tempat.

“Jadi, apa boleh dikatakan kami memang menumpang populariti lagu yang viral ini, tapi secara positif.

“Kami bawakan lagu ini dengan versi tersendiri dan nafas baharu. Kalau lagu asal orang kecam, saya yakin untuk versi Aku Budak Boy ini orang akan suka.

“Malah, tanggapan mereka terhadap lagu ini pasti berubah. Sebenarnya kami nak bagi orang dengar kekuatan lagu ini. Secara tidak langsung, menerusi lagu itu lebih ramai orang lagi akan mendengar lagu Aku Budak Girl,” katanya.

Selain itu, ditanya mengenai pembabitannya dalam kumpulan Neon sebagai penyanyi baharu yang menggantikan vokalis asal, Ezwan Ariff, Boy atau nama sebenarnya, Mohd. Firdaus Mahadzir, mengaku lebih selesa bergerak bersama kumpulan berbanding solo sebagaimana sebelum ini.

“Saya merupakan bekas peserta program Suara Viral (SV) yang ditayangkan di saluran Astro Prima tahun lalu. Selepas tamat program SV, saya ada beberapa lagu untuk projek solo tapi entah mengapa rasa macam tak kena dengan jiwa.

“Mungkin sudah lama berhasrat nak ada kumpulan, kebetulan bertemu dengan Neon dan kami pun jamming bersama.

“Ketika itu, saya tahu mereka sudah ada vokalis yang terlibat dengan projek solo.

“Dari situ, kami cuba buat lagu sendiri. Tapi, pelancaran lagu ciptaan sendiri ini kami tangguh dulu. Kami fikir daripada tidak buat apa-apa, baik cuba rakaman nyanyian semula atau cover version. Maka terhasillah Aku Budak Boy ini,” katanya.

Dalam pada itu, Boy bersama rakan seperjuangan, Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar) mengharapkan sinar agar peminat dan pendengar menyukai lagu hasil olahan mereka ini.

Antara lagu yang pernah dihasilkan Neon Band sebelum ini dan berjaya diterima peminat adalah Cinta Yang Telah Mati, Hingga Akhir Nanti, Kaca dan Jiwa.

Lagu Aku Budak Boy terbitan Nova Music dilancarkan Jumaat lalu dan kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik manakala video muzik pula boleh ditontoj di saluran YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×