Tan Sri Annuar Musa adalah individu pertama yang mendedahkan rancangan sulit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membawa parti keramat orang Melayu itu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika tampil berhadapan dengan media sehari selepas pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) pada Januari tahun ini, Annuar mendakwa wujud sokongan secara hitam putih membabitkan Ahmad Zahid kepada Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Annuar turut menegaskan, dokumen sokongan yang diperolehnya disahkan tulen.
Surat sokongan bertarikh 11 Oktober 2020 itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian Ahmad Zahid menyokong Presiden PKR itu.
Dalam surat tersebut, antara perkara disebut ialah menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar.
Selepas pendedahan, Annuar menerima kecaman yang hebat terutamanya daripada kalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO termasuklah pemimpin-pemimpin parti itu.
Pelbagai tohmahan ditujukan kepadanya sehingga ada yang melabelkan Ahli Parlimen Ketereh itu sebagai ejen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kluster menteri dan tidak kurang juga menuduhnya pengkhianat.
Walaupun diserang bertubi-tubi termasuk difitnah dari dalam parti sendiri, Annuar tetap konsisten dengan pendiriannya.
Beliau tetap nekad untuk menolak idea jajaran baharu yang cuba dibawa oleh Ahmad Zahid (walaupun dinafikan Ahmad Zahid pada peringkat awal).
Antara pemimpin UMNO yang kuat menghentam ketika itu ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman danDatuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Selain itu, Annuar juga antara individu pertama yang mendedahkan pembohongan Ahmad Zahid mengenai kononnya UMNO telah dikhianati oleh Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September tahun lalu.
Pelbagai cerita direka oleh pasukan Ahmad Zahid untuk menguatkan dakwaan beliau kononnya UMNO telah dikhianati oleh Bersatu. Antaranya agihan kerusi untuk ditandingi dan pengisian jawatan Ketua Menteri Sabah.
Akhirnya, hari ini kita dapat tahu segala cerita-cerita tersebut hanya direka-reka untuk membangkitkan sentimen kebencian ahli UMNO terhadap Bersatu. Cerita-cerita tersebut direka hanya untuk dijadikan modal oleh Ahmad Zahid dan penyokong-penyokongnya sebagai justifikasi untuk memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu.
Rupa-rupanya sejak sebelum PRN Sabah lagi, Ahmad Zahid sudah ada persepakatan dengan Anwar dan tidak hairanlah kenapa naratif membenci Bersatu semakin kuat dimainkan selepas PRN itu.
Walaupun cuba dinafikan oleh Ahmad Zahid dan penyokong-penyokongnya dengan pelbagai hujah dan tindakan-tindakan memfitnah, namun begitu hari ini kita dapat lihat sendiri apa yang didedahkan oleh Annuar selama ini mengenai usaha membawa sokongan UMNO kepada Anwar dan jajaran baharu, semakin terbukti dan semakin jelas kebenarannya.
Perkara ini terbukti benar apabila Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris mendedahkan beliau telah menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri baharu.
Perkara ini juga diakui oleh Mohamed Nazri yang mendakwa beliau telah didekati sebanyak empat kali untuk menandatangani SD yang sama.
Kebenaran demi kebenaran juga semakin terbukti hari ini apabila satu demi satu tindakan Ahmad Zahid untuk memutuskan hubungan dengan kerajaan PN didedahkan.
Rupa-rupanya, usaha Ahmad Zahid ini dilakukan tanpa henti bermula dengan usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu di persidangan UMNO peringkat bahagian seterusnya dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Ia diikuti gerakan jajaran baharu untuk menjatuhkan kerajaan negeri Perak dan usaha memaksa ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya menyokong dengan memanggil secara berseorangan dan memaksa mereka menandatangani persetujuan supaya UMNO menarik diri daripada PN.
Dokumen kononnya persetujuan MKT ini pula kemudiannya akan digunakan untuk memaksa ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada PN.
Segala tindakan ini dilakukan dengan melanggar peraturan parti dan menggunakan cara tipu muslihat Ahmad Zahid.
Sebagai contoh, ketika PAU 2020, usul yang dibawa ketika itu tidak diundi oleh perwakilan. Sebaliknya, pengundian dibuat semasa ucapan penggulungan Presiden.
Selain itu, satu lagi penipuan Ahmad Zahid adalah berhubung surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya UMNO telah memutuskan untuk menarik diripada PN susulan keputusan mesyuarat MKT di Janda Baik. Hakikatnya, dalam mesyuarat tersebut tiada keputusan seperti itu dibuat.
Begitu juga dengan keputusan untuk menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan, tiada sebarang mesyuarat MKT dibuat sebaliknya pertanyaan hanya dibuat melalui WhatsApp tanpa ada keputusan dan sebarang perbincangan.
Terakhir, penipuan Ahmad Zahid terbongkar lagi apabila tersebar verbatim Ahmad Zahid menipu kepada Yang di-Pertuan Agong di mana beliau mendakwa kononnya mesyuarat MKT UMNO telah membuat keputusan untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN pada 1 Ogos 2021.
Dalam verbatim tersebut, Ahmad Zahid juga memberitahu kepada Seri Paduka kononnya semua menteri, timbalan menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli Parlimen dari UMNO juga telah berjanji untuk menarik balik sokongan terhadap PN.
Realitinya, mesyuarat MKT yang didakwa Ahmad Zahid itu tidak pernah berlaku.
Terkini, satu tamparan kepada Ahmad Zahid kerana ahli-ahli Parlimen UMNO menolak cadangan untuk tarik diri daripada PN.
Alasan yang diberikan oleh ahli-ahli Parlimen ini sememangnya rasional iaitu untuk mengurangkan politiking dan menumpukan kepada usaha membela nasib rakyat yang terkesan dalam perang melawan pandemik Covid-19.
Ahli dan penyokong UMNO sewajarnya berterima kasih dan bersyukut kerana masih ada pemimpin yang berani untuk mendedahkan pembohongan dan muslihat Ahmad Zahid.
Jika tiada pendedahan yang dimulakan oleh Annuar, disusuli pendedahan-pendedahan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Mohamed Nazri dan penolakan-penolakan daripada ahli MKT yang tidak menyokong Ahmad Zahid, mungkin hari ini UMNO sudah berada di bawah kepimpinan Anwar dengan kerjasama DAP membentuk kerajaan baharu.
Penulis ialah bekas wartawan dan Karyawan Tamu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










