Netanyahu cadang kerajaan perpaduan Israel, setuju Eisenkot jadi PM bergilir

Netanyahu cadang kerajaan perpaduan Israel, setuju Eisenkot jadi PM bergilir

BENJAMIN Netanyahu dan Gadi Eisenkot. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan kesediaan untuk membenarkan ketua pembangkang, Gadi Eisenkot memegang jawatan Perdana Menteri terlebih dahulu di bawah perjanjian kerajaan perpaduan secara bergilir.

Menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu, Netanyahu berkata, tanggungjawab sebagai pemimpin mewajibkannya mengetepikan segala kepentingan termasuk prinsip parti terbesar, selain memaklumkan beliau akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri gantian pada peringkat awal.

Eisenkot yang diberi mandat oleh Presiden Israel, Isaac Herzog awal bulan ini untuk membentuk kerajaan baharu dalam tempoh 28 hari segera menyambut baik tawaran itu dengan menjemput Netanyahu ke meja rundingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkembangan tersebut menyusul sehari selepas Eisenkot menuduh parti haluan kanan pimpinan Netanyahu, Likud sengaja melengah-lengahkan rundingan gabungan menjelang tarikh akhir 6 Disember ini.

Dalam pilihan raya pada Oktober lalu, parti berhaluan tengah Yashar pimpinan Eisenkot bersama tiga lagi parti pembangkang Yahudi memenangi 48 kerusi, manakala blok Netanyahu meraih 53 kerusi dengan kedua-dua pihak gagal mencapai majoriti mudah di Knesset yang mempunyai 120 kerusi.

Herzog memaklumkan beliau telah berunding dengan semua parti selama seminggu selepas pilihan raya sebelum memberi peluang pertama kepada bekas ketua turus tentera itu untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, dua pakatan parti pimpinan Arab iaitu United Arab List dan Joint List mencipta kejutan apabila memenangi 19 kerusi susulan lonjakan jumlah keluar mengundi dalam kalangan pengundi Arab, sekali gus meletakkan mereka sebagai penentu kuasa.

Bagaimanapun, hampir kesemua parti Yahudi kecuali satu telah berikrar sebelum pilihan raya untuk tidak bekerjasama dengan pakatan parti Arab berkenaan bagi membentuk kerajaan.

Dalam satu temu bual bersama saluran Channel 12 Israel pada Sabtu, pemimpin parti Islam sederhana Raam, Mansour Abbas memberi bayangan beliau dan partinya mengiktiraf Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Mansour didakwa mengesahkan telah mengundi menyokong rang undang-undang tajaan bersama Raam yang merangkumi penetapan status itu, langkah yang berpotensi membuka laluan buat partinya menyertai gabungan menyingkirkan Netanyahu.

Setakat ini, Eisenkot berjaya mencatat kemajuan ke arah membentuk majoriti apabila memeterai perjanjian gabungan bersama parti Yisrael Beiteinu dan The Democrats.

Manakala anggota keempat dalam bloknya iaitu parti Beyachad pimpinan bekas Perdana Menteri, Naftali Bennett pada Khamis menyatakan sokongan terhadap kerajaan perpaduan bersama Likud dengan syarat Eisenkot menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu.

Mengulas kenyataan Netanyahu pada Ahad, Bennett menyifatkan pemimpin Likud itu membuat keputusan tepat kerana bersedia menyertai kerajaan perpaduan diterajui Eisenkot yang berteraskan pakatan golongan yang berkhidmat untuk negara.

“Jika Likud bersedia untuk perpaduan sejati, saya bersedia menilai kesungguhan niatnya dalam tempoh 24 jam akan datang,” kata Eisenkot sambil menegaskan rundingan hendaklah berlandaskan cadangan terperinci yang telah dihantar kepada Netanyahu pada Ahad lalu namun masih belum menerima sebarang maklum balas sehingga kini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini