PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz meminta orang ramai supaya berhenti mengaitkan setiap lagu yang dinyanyikannya dengan kisah peribadi yang sudah lama berlalu.
Aliff atau nama lengkapnya Mohamad Aliff Aziz, 35, menegaskan nyanyian semula lagu Selesa dendangan asal Hael Husaini itu sekadar perkongsian karya muzik dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu.
“Dah nama pun cover lagu. Korang relaks sikit, jangan semua hendak ‘terpaling kait’.
“Tak ada kena-mengena dengan yang hidup atau yang mati. It’s not that deep,” katanya menerusi hantaran komen di TikTok.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sayang Sayang tersebut turut menyindir sikap segelintir warganet yang seolah-olah masih enggan melupakan kisah silamnya.
“Semua lagu hendak dikaitkan dengan benda yang sudah lama berlalu. Korang yang tak move on ini.
“Takkan hendak menyanyikan lagu Twinkle, Twinkle, Little Star pun korang hendak kaitkan,” ujarnya.
Aliff dalam masa sama berpandangan muzik merupakan medium untuk mengekspresikan pelbagai emosi tanpa perlu dikaitkan dengan kehidupan peribadi seseorang penyanyi.
“Banyak lagi ekspresi dalam muzik dan tidak perlu tunjukkan kegelapan hati sendiri di ruangan komen.
“Nikmati sahaja nyanyian itu atau abaikan sekiranya tidak menepati cita rasa anda,” katanya.
Terdahulu, video nyanyian semula lagu Selesa oleh Aliff mengundang pelbagai reaksi warganet yang mengaitkan bait-bait lirik lagu tersebut dengan kisah silam penyanyi berkenaan. – UTUSAN











