KUALA LUMPUR: Bukan memencilkan diri, pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz mengambil pendekatan berehat daripada kerjaya seni untuk memberi fokus kepada kesihatan mental.
Menurut Alif atau Muhamad Aliff Aziz, 33, tindakan itu perlu dilakukan kerana kemelut perceraian rumah tangga yang melandanya sangat meletihkan.
“Saya sedang menjalani fasa berehat sebentar (daripada kerja) untuk pulihkan mental. Itu sahaja.
“Hal ini (perceraian) merupakan hari yang meletihkan bagi saya. Berkenaan rezeki, saya percaya segalanya ada di tangan Allah, saya kini lebih kepada muhasabah diri,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditanya media mengenai situasi semasa pelakon itu yang dilihat memencilkan diri selepas kemelut rumah tangganya diperkatakan.
Ditanya bilakah kali terakhir dia menghubungi Bella, penyanyi Sayang Sayang itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan meminta orang ramai memberinya ruang untuk bertenang.
“Buat masa sekarang saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk cerita perkara ini.
“Namun saya harap agar semua dapat memberi ruang kepada kami dan juga keluarga agar dapat menjalani hari ini dan akan datang dengan lebih baik,” katanya.
Aliff ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Sementara itu, pelakon kelahiran Singapura itu juga berharap agar semua pihak mendoakan dirinya.
Terdahulu, Aliff dan Bella Astillah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difail Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Sebelum ini, Bella telah memfailkan cerai secara ekspres di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu kerana tiada lagi perasaan sayang.
Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016. Mereka pernah bercerai talak satu pada April 2020 namun rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
Aliff dan Bella dikurniakan dua orang anak iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3, sepanjang perkahwinan.









