BAGAN SERAI: Seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kerugian RM208,700 selepas diperdaya tawaran kerja sambilan tidak wujud yang menjanjikan komisen bagi melaksanakan tugasan dalam talian di Kuala Kurau, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Jafri Md. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penipuan tersebut dan siasatan awal mendapati mangsa membuat pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza.
“Mangsa melakukan 15 transaksi pembayaran berjumlah RM213,800, namun hanya menerima pulangan sebanyak RM5,100.
“Mangsa diperdaya melalui tawaran kerja sambilan yang menjanjikan bayaran komisen bagi melaksanakan tugasan dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Orang ramai perlu mengelakkan sebarang bayaran pendahuluan atau pindahan wang bagi menyelesaikan tugasan yang tidak jelas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak akaun bank dan nombor telefon mencurigakan melalui Semak Mule PDRM. – UTUSAN











