KUALA NERUS: Barisan Nasional (BN) membuka peluang kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk menyertai gabungan itu menerusi keahlian terus.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat Melayu boleh menyertai UMNO, manakala kaum bukan Melayu berpeluang menjadi ahli secara terus melalui BN tanpa perlu menyertai parti komponen gabungan berkenaan.
Menurutnya, permohonan keahlian itu turut dipermudahkan menerusi sistem pendaftaran secara dalam talian bagi membolehkan rakyat yang berminat mengemukakan permohonan dengan lebih mudah.
“Keahlian terus Barisan Nasional terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Orang Melayu boleh menyertai UMNO, manakala kaum bukan Melayu boleh memohon menjadi ahli secara terus melalui Barisan Nasional.
“Kita mempunyai sistem permohonan keahlian ini yang boleh dibuat secara dalam talian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sama’ Hadis Riyadus Solihin Bersama Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi dan Program Ijtimak Pondok Nusantara di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.
Semalam, BN mempelawa masyarakat India termasuk pemimpin politik di luar parti komponen untuk menyertai gabungan itu menerusi keahlian terus bersempena ulang tahun ke-10 Malaysian Indian Blueprint yang akan diraikan tahun depan. – UTUSAN











