Mekanisme khusus bantu sekolah pondok, institusi tahfiz terjejas banjir - Ahmad Zahid

Mekanisme khusus bantu sekolah pondok, institusi tahfiz terjejas banjir – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kerajaan akan mengkaji mekanisme bantuan banjir khusus kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz yang terjejas, termasuk institusi tidak berdaftar, bagi memastikan pelajar, guru serta pengurusan institusi berkenaan turut mendapat perhatian sewajarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu mekanisme khusus perlu diwujudkan bagi membantu institusi pendidikan agama yang turut berdepan kesan bencana, terutama yang terletak di kawasan pedalaman.

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah telah diminta supaya turut menyantuni sekolah pondok dan maahad tahfiz yang terjejas banjir memandangkan mereka juga merupakan mangsa yang perlu dibantu dan diselamatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun kita telah membuat keputusan bahawa setiap keluarga yang menjadi mangsa banjir diberikan bantuan wang ihsan ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS), kita juga mesti memikirkan nasib pelajar dan institusi pendidikan berkenaan.

“Justeru, satu mekanisme baharu perlu dicari bagi membantu pelajar, guru-guru serta institusi berkenaan melalui pelbagai bentuk bantuan, khususnya bantuan wang ihsan,” katanya selepas Majlis Perasmian Sama’ Hadis Riyadus Solihin Bersama Sheikh Dr. Ali Muhyeldin Al-Qaradaghi dan Ijtimak Pondok Nusantara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.

Ahamd Zahid berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi mencari pendekatan terbaik untuk membantu golongan berkenaan yang akan diadakan esok.

Tambahnya, terdapat kira-kira 2,354 institusi pondok berdaftar di seluruh negara manakala yang tidak berdaftar dianggarkan berjumlah 2,500 buah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini