PETALING JAYA: Dakwaan kononnya sekolah pondok menjadi pusat penyebaran fahaman ekstrem perlu dilampirkan dengan bukti dan tidak boleh dibuat begitu sahaja.
Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd. Zahid Mahmood berkata, pada Januari 2019 pihak polis mempamerkan statistik berkenaan pada satu seminar tahfiz menunjukkan tidak ada sekolah tahfiz atau pondok terlibat dengan aktiviti keganasan atau fahaman-fahaman salah.

“Statistik itu adalah dapatan selepas dibuat kajian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, sehubungan itu pandangan agama tidak boleh diberi mengikut selera diri sendiri kerana ia akan menjurus kepada fitnah dan keburukan.
“Kemungkinan ada, tetapi tidak boleh kita letakkan seolah-olah keseluruhan pusat pengajian tersebut berkemungkinan mempunyai fahaman ekstremis atau melahirkan pengganas,” ujarnya.
Kata beliau, sistem pengajian atau sukatan tahfiz dan pondok tidak lari daripada yang ditetapkan kerajaan.
Sementara itu, Setiausaha Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB), Ahmad Shairazi Atiqullah berkata, sukatan sekolah pondok diwarisi daripada ulama silam dan ia tidak dibuka sesuka hati tanpa sukatan tertentu.
“Ia tuduhan jahat dan tidak betul kerana pondok mempunyai kepakaran dalam pengajian turath yang ditinggalkan. Malah melalui sistem pondok juga berjaya menjadikan pelajar-pelajar beradab dan menjaga tradisi keberkatan pengajian Islam,” kata beliau. – UTUSAN










