PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion bagi menegakkan syiar Islam supaya terus syumul dan tertegak di negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kini, terdapat lebih 300 sekolah pondok berdaftar dan hampir 160 tidak berdaftar.
Katanya, prasarana sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz ditambah baik termasuk penggantian peralatan pengajian usang di institusi pondok berdaftar disediakan dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.
“Seramai 720 anak-anak tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMara yang boleh dimanfaat setelah tamat pengajian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, institusi masjid akan terus diimarah sebagai pusat komuniti justeru Anugerah Masjid Malaysia akan diperkenalkan bagi mengiktiraf masjid cemerlang.
Katanya, Konvensyen Masjid turut dianjurkan sebagai wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam serta teknokrat.
“Majlis-majlis ilmu diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman umat Madani terhadap Islam. Ini termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 bagi memberi peluang umat Islam menghayati hadis-hadis Rasulullah SAW yang diperdengarkan dengan bacaan penuh tartil oleh para ulama,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, usaha Malaysia melalui Yayasan Restu dan Jakim untuk mencetak satu juta naskhah al-Quran ke dalam 30 bahasa utama dunia mendapat sambutan yang amat positif daripada masyarakat dunia.
“Kerajaan turut perkenalkan Mushaf Madani sebagai sebahagian program tadabbur al-Quran di peringkat nasional. Seterusnya, kerja-kerja akan bermula untuk membangunkan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya,” katanya. – UTUSAN










