Tahfiz jadi pilihan utama ibu bapa, perlu perhatian semua pihak - Utusan Malaysia

Tahfiz jadi pilihan utama ibu bapa, perlu perhatian semua pihak

Tahfiz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelbagai pihak termasuk kerajaan digesa memberikan perhatian kepada pembangunan institusi tahfiz dan sekolah menengah agama yang kini dianggap sebagai pilihan utama kebanyakan ibu bapa.

Ini kerana prestasi akademik bagi pelajar institusi-institusi tersebut khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat lebih cemerlang berbanding aliran lain dalam tempoh dua dekad lalu.

Malah, ia sekali gus membuktikan institusi agama atau tahfiz adalah merupakan antara jalur terbaik dalam membina kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, ramai mula menyedari subjek agama dan tahfiz merupakan nilai tambah yang signifikan kepada institusi pendidikan di semua peringkat termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam melahirkan pelajar dan graduan cemerlang.

Menurutnya, mutakhir ini semakin ramai rakyat Malaysia memilih dan memberi keutamaan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah agama atau tahfiz.

“Masyarakat hari ini juga semakin cenderung untuk melihat supaya lebih ramai golongan teknokrat, saintis, profesional dan cendekiawan adalah dari kalangan mereka yang menghafal Al-Quran, yang diyakini dapat membawa nilai tinggi sumber manusia kepada kemajuan dalam semua sektor industri negara.

“Dalam usaha kita menjadikan Islam sebagai teras kepada pembangunan tamadun negara kita dan dunia secara amnya, institusi agama atau tahfiz adalah potensi kecemerlangan yang terbaik untuk dihidangkan kepada murid- murid di negara kita pada waktu ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, pembangunan sistem pendidikan Malaysia yang holistik terhadap sekolah menengah agama dan tahfiz dapat dibangunkan secara holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan, kerajaan negeri, sekolah-sekolah swasta, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan masyarakat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menyatakan gabungan subjek antara tafiz dan sains dilihat berjaya mencapai tahap dan prestij yang tersendiri.

“Pencapaian tersebut dilihat dalam beberapa model seperti penggabungan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), program TVET, dan pembelajaran bahasa ketiga seperti Jerman, Jepun, Perancis, Mandarin, dan Arab dalam pengajian mereka.

“Sekarang adalah waktu yang paling tepat supaya program ini dicorak untuk dikembangkan lagi ke peringkat yang lebih bersifat lokal, luas dan ke tahap seterusnya seperti program pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT), analisis data raya, teknologi robotik, food sovereignty dan teknologi nuklear dalam kurikulum mereka,” jelasnya.

Katanya lagi, program-program seperti ini perlu dikembangkan agar pendidikan bersepadu dapat dilaksanakan pada semua peringkat sistem pendidikan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×