Dana penyelidikan RM225 juta tak hilang

Dana penyelidikan RM225 juta tak hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kehilangan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta seperti dibangkitkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, jumlah itu merupakan baki dana terkumpul daripada pelaksanaan ribuan projek penyelidikan sejak 2006 dan disimpan dalam akaun berasingan di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menurutnya, baki dana itu terhasil daripada penjimatan kos pelaksanaan, pelarasan keperluan penyelidikan, penyiapan projek lebih awal serta faktor teknikal dan pentadbiran lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baki dana tersebut mewakili 3.65 peratus daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang dua dekad ini dan disimpan dalam akaun berasingan di IPT serta tertakluk kepada kawal selia, tatacara kewangan kerajaan serta kelulusan KPT.

“Berdasarkan penjelasan tersebut, jelas menunjukkan bahawa soal kehilangan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta adalah tidak timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPT berkata, sebelum ini isu itu turut dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan beberapa langkah proaktif telah diambil bagi membolehkan baki dana itu dimanfaatkan semula.

Katanya, pada 11 Februari lalu, Kementerian Kewangan memberikan kelulusan secara sekali sahaja, tertakluk kepada pewujudan mekanisme pengurusan yang jelas.

Susulan itu, pada 4 Mac lalu, Jemaah Menteri menetapkan supaya cadangan penggunaan semula baki dana berkenaan dikemukakan sebelum mekanisme, tatacara pengurusan dan agihannya diluluskan pada 18 September.

Cadangan penggunaan semula baki dana tersebut melibatkan 20 universiti awam (UA) dan 41 IPT swasta (IPTS).

“Penggunaan semula dana akan dilaksanakan secara telus, berstruktur dan dengan pemantauan berkala tanpa mengubah tujuan asal peruntukan R&D (penyelidikan dan pembangunan),” katanya.

KPT memaklumkan, tindakan tatatertib telah diambil terhadap individu yang mengetuai penyelidikan membabitkan kehilangan 19 unit prototaip perubatan i-Breath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kehilangan itu dilaporkan berlaku antara Januari 2022 hingga Disember 2023.

Tindakan tatatertib diambil susulan pelanggaran tatakelola dan tatacara perolehan manakala laporan polis turut dibuat pada 15 Oktober 2025.
UTM turut melaksanakan langkah pembetulan meliputi pengasingan tugas pengesah dan pelulus serta mendapatkan kelulusan perbelanjaan daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

KPT memandang serius laporan PAC dan komited menangani kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.

“KPT akan terus bekerjasama dengan PAC, Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap syor penambahbaikan dilaksanakan berdasarkan kepada fakta-fakta yang jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini