PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berbelanja di luar kemampuan untuk mendapatkan khidmat Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, sebaliknya pelantikan itu dibuat berdasarkan persetujuan bersama mengenai kadar gaji yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya mempunyai had perbelanjaan tersendiri dan keputusan membawa Hodak dibuat selepas rundingan yang mengambil kira kemampuan badan induk itu serta persetujuan pengendali berkenaan.
“Gaji bukan dinyatakan oleh FAM, yang penting adalah kita (FAM dan Hodak) berunding di mana FAM dan dia bersetuju (kadar gaji), FAM ada had sendiri dan dia bersetuju, jadi perkara ini (pelantikan Hodak) berlaku.
“Saya rasa tidak ada lumayan, ia berpatutan seperti apa yang diminta, kita pun ada had malah kita juga selepas ini akan umumkan jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23), wanita dan kita ada bajet tertentu untuk ambil jurulatih ini,” katanya ketika ditemui pada Kongres Pemilihan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), semalam.
Isu bayaran Hodak mula menjadi perhatian selepas media Indonesia melaporkan bekas pengendali Persib Bandung itu didakwa menerima gaji mencecah RM2.24 juta semusim bagi menggalas tugas berat bersama skuad kebangsaan.
Jumlah berkenaan turut dianggap munasabah oleh ejen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Effendi Jagan Abdullah yang berpandangan reputasi Hodak sepadan dengan nilai yang dikaitkan dengannya di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, Hodak yang diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pada 24 November lalu tidak mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan diri apabila FAM meletakkan sasaran tinggi, termasuk usaha melayakkan Malaysia ke Piala Asia 2032.
Peminat bola sepak negara kini menantikan pendekatan Hodak dalam menggabungkan pemain naturalisasi dan warisan bagi membentuk pasukan kompetitif menjelang Kelayakan Piala Dunia 2030 yang dijadual bermula September tahun depan.
Dalam masa sama, Ab Ghani berharap hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama bersama Hodak mampu membawa impak positif kepada Harimau Malaya, memandangkan mereka pernah bekerjasama ketika membantu skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018.
“Saya pun mengenali Bojan sudah lama, kami tidak putus hubungan, diharapkan kali ini kami dapat menghasilkan sesuatu kepada bola sepak negara,” katanya. – UTUSAN
KAPSYEN
AB GHANI HASSAN











