BRN mungkin terima pentadbiran khas Selatan Thailand

BRN mungkin terima pentadbiran khas Selatan Thailand

PENDUDUK Selatan Thailand mahu rundingan damai segera dilaksanakan bagi memastikan keamanan kembali pulih di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mungkin menerima cadangan untuk mewujudkan pentadbiran khas di Selatan Thailand sebagai alternatif kepada pemisahan wilayah atau pemberian autonomi.

Pemantau dialog damai bagi pihak kerajaan Thailand, Wan Muhamad Noor Matha berkata, tawaran pentadbiran khas itu bagaimanapun  bergantung kepada pendapat pasukan keselamatan, khususnya Komander Tentera Darat Wilayah 4, Leftenan Jeneral Chakrit Ucharattana.

Menurutnya, mesyuarat peringkat bawahan antara Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP-RTG) dan BRN masih berterusan sebelum rundingan rasmi diadakan Januari ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini, BRN memberi isyarat tidak akan ada pemisahan wilayah (autonomi), tetapi ia mungkin akan datang dalam beberapa bentuk pentadbiran khas, yang akan bergantung pada pendapat pasukan keselamatan.

“Sebelum ini, Komander Tentera Darat Wilayah 4 (Leftenan Jeneral Narathip Poynok) mungkin tidak bersedia menerima perkara ini (pentadbiran khas), tetapi daripada apa yang diperhatikan, komander baharu (Chakrit) tidaklah seagresif komander sebelumnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau mengulas mengenai Proses Dialog Damai Selatan Thai yang dijangka memasuki fasa baharu rundingan rasmi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertemu Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul di Bangkok pada 8 dan 9 Disember ini.

Mengulas perkembangan proses dialog damai susulan kematian Setiausaha Agung BRN, Abdullah Munir, Wan Muhamad Noor berkata, penyelarasan rundingan damai itu sentiasa diadakan dengan sayap politik BRN tanpa melibatkan Allahyarham secara langsung.

“BRN mempunyai struktur pentadbiran dalamannya sendiri, termasuk sayap politik. Rundingan dan penyelarasan sentiasa diadakan dengan bahagian politik BRN.

“(Kematian Abdullah) tidak akan menjejaskan rundingan damai rasmi dijangka Januari depan selepas Anwar dan Anutin bertemu di Bangkok,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini