Umur sekadar angka, teruskan belajar – Tunku Azizah

Umur sekadar angka, teruskan belajar – Tunku Azizah

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencium tangan suaminya, Sultan Pahang Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, di Gombak Selangor. - UTUSAN SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu, sebaliknya pengalaman dan kematangan hidup menjadi kelebihan dalam memperluas pengetahuan, titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah, setiap individu perlu mempunyai keinginan untuk terus belajar tanpa menjadikan faktor usia sebagai alasan untuk berhenti menimba ilmu, sebagaimana pengalaman baginda sendiri yang masih meneruskan pengajian pada usia 66 tahun.

“Umur hanyalah sebuah nombor,” titah baginda ketika berkongsi nasihat kepada mereka yang berhasrat menyambung pengajian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda berkenan ditemui media selepas menerima Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shahpada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, di sini hari ini.

Tunku Azizah berjaya menamatkan pengajian menerusi kajian baginda bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’ atau ‘The Hukum Kanun Pahang: A Study of Sovereign Malay-Islamic Constitution’.

Menurut Tunku Azizah, individu yang lebih berusia mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kematangan dalam berfikir hasil perjalanan kehidupan yang telah dilalui.

“Saya perlu katakan bahawa pada umur 66 tahun, saya boleh berfikir dengan lebih matang daripada seorang perempuan berumur 25 tahun.

“Saya maksudkan, melalui pengalaman dan kehidupan yang telah saya lalui. Mereka yang baru-baru ini keluar dari universiti, mereka tidak melalui kehidupan. Kami telah melalui kehidupan,” titah baginda.

Baginda turut berkongsi bahawa keputusan menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) merupakan satu perjalanan penemuan ilmu yang membuka ruang kepada pemahaman baharu.

Titah baginda, pengalaman sebagai pelajar dewasa juga memberi peluang untuk berinteraksi dan bertukar pandangan dengan rakan-rakan sekuliah yang jauh lebih muda.

“Pada umur kami, ketika anda seorang pelajar yang sudah matang, anda boleh berfikir lebih banyak.

“Tetapi anda juga perlu berkumpul dengan orang muda. Kerana semua rakan sekelas saya masih muda. Mereka umur anak-anak saya,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa proses pembelajaran merupakan satu perjalanan yang membolehkan seseorang terus berkembang melalui pengalaman dan pengetahuan.

Dalam pada itu, baginda menyifatkan peluang menyambung pengajian sebagai satu perjalanan penemuan yang membolehkan baginda memahami perkara yang sebelum ini kurang diketahui.

Baginda turut menghargai para pensyarah yang memberi ruang untuk baginda berfikir dan meneroka ilmu sepanjang mengikuti pengajian berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini