MACHANG: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menyemak draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selepas menerimanya daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, ini berikutan ulasan yang diberikan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.
Katanya, pihaknya juga sudah mengemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk penelitian selanjutnya.
“Kita (AGC) sudah menyemak tentang perkara ini dan saya difahamkan perkara ini masih dalam tindakan JKPK.
“Jika ada selanjutnya, isu yang perlu kami semak, kami akan lakukan. Jika tidak ada, draf berkenaan akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja berhubung perkara tersebut pada mesyuarat pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni Madani AGC di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses untuk dimuktamadkan, khususnya membabitkan mekanisme pelantikan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beberapa perkara berhubung cadangan pindaan itu sedang diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK). – UTUSAN











