Kerajaan Pusat sedia bantu bayar gaji penjawat awam Negeri Sembilan

Kerajaan Pusat sedia bantu bayar gaji penjawat awam Negeri Sembilan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Pusat akan menyalurkan peruntukan  bagi membayar gaji penjawat awam Kerajaan Negeri Sembilan sekiranya berlaku masalah perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pembentangan Belanjawan Negeri 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penjawat awam negeri itu terus terpelihara dan pembayaran gaji mereka tidak terjejas walaupun selepas berdepan ketidaktentuan urusan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, jaminan itu turut merangkumi pembayaran gaji bagi Januari tahun depan sekiranya masalah berkenaan masih belum diselesaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya telah pun mengambil keputusan untuk tahun depan, sekiranya ada masalah perjalanan DUN, saya akan pastikan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana yang cukup untuk membayar gaji mereka.

“Kalau selesai, tidak mengapa, tetapi kalau tidak selesai, saya beri jaminan. Jadi saya beri jaminan gaji Januari,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuruan Program Yakin Madani Memaknai Harapan Rakyat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (Kombes), Paroi, di sini hari ini.

Anwar berkata, langkah itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana Kerajaan Pusat turut menyalurkan bantuan kewangan bagi pembayaran gaji dan urusan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, Terengganu serta Perlis.

Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim bagi menyelaraskan urusan berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kebimbangan dalam kalangan penjawat awam negeri berhubung pembayaran gaji tidak berlarutan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat mahu memastikan pelaksanaan beberapa projek pembangunan yabg telah dirancang di Negeri Sembilan tidak terjejas walaupun negeri itu sebelum ini berdepan ketidaktentuan politik.

Katanya, beliau tidak mahu rakyat menjadi mangsa keadaan sehingga projek yang memberi manfaat kepada mereka terpaksa ditangguhkan atas alasan kepentingan politik.

“Saya tidak mahu dikatakan zalim, tidak bagi pembukaan (pelaksanaan projek) semata-mata kerana kepentingan politik.

“Sebab itu kita ambil keputusan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) tanya sama ada nak diteruskan, saya kata teruskan. Masa itu kerajaan negeri belum tentu, tetapi tidak mengapa, kalau kerajaan tidak tentu pun projek kita jalan juga kerana ini membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek termasuk tebatan banjir akan diteruskan, selain menegaskan tiada halangan terhadap projek pembangunan yang sedang dirancang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kelewatan urusan pentadbiran negeri sebelum ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, khususnya berkaitan permohonan tanah dan kelulusan yang memerlukan tindakan Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Katanya, beliau menerima maklum balas daripada beberapa pelabur yang mengeluh berhubung kelewatan berkenaan, namun yakin urusan itu dapat disegerakan selepas pentadbiran negeri kembali tersusun.

“Saya masih yakin, sebaik sahaja ada aturan, projek-projek ini akan disegerakan. Jadi saya akan menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan minta mereka memaklumkan dengan betul kerana banyak permohonan pelabur yang tertangguh dan mesti disegerakan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan supaya tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan antara daerah di negeri ini.

Katanya, perbezaan pendapatan antara kawasan seperti Seremban dan Jelebu perlu diberikan perhatian dalam merancang projek pembangunan bagi mengelakkan jurang ekonomi antara kawasan semakin melebar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini