GOMBAK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, di sini hari ini.
Tunku Azizah berjaya menamatkan pengajian seterusnya dinobatkan sebagai pelajar terbaik menerusi kajian baginda bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’ atau ‘The Hukum Kanun Pahang: A Study of Sovereign Malay-Islamic Constitution’.
Dalam titah ucapan, Sultan Nazrin bertitah, istiadat konvokesyen kali ini dianggap keluarbiasaan kerana belum pernah dan julung kali berlaku, baginda diberikan penghormatan diundang untuk menganugerahkan ijazah kepada graduan Doktor Falsafah dan Sarjana, walaupun amalan lazimnya penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM.
Titah baginda, keistimewaan kerana Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM adalah sebagai seorang graduan yang telah memenuhi kriteria akademik untuk dianugerahi Ijazah Sarjana.
Baginda bertitah, keazaman Tunku Azizah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam masa yang sama melaksanakan tanggungjawab diraja merupakan contoh komitmen terhadap ilmu yang diraikan pada majlis ini dan sewajarnya mendapat pengiktirafan daripada pihak universiti.
“Kekanda menzahirkan ucapan tahniah kepada Paduka Adinda Tunku Azizah yang membuktikan contoh teladan terpuji, meski berada di kerusi tertinggi universiti, namun merendahkan diri memilih menjadi seorang mahasiswi yang mempamerkan disiplin seorang pelajar yang tekun, komited dan bersungguh.
“Kekanda turut mengalu-alukan keberangkatan Paduka Adinda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Istiadat Konvokesyen ini memperlihatkan contoh teladan suami mithali, memberi dorongan dan kekuatan di belakang kejayaan seorang isteri,” titah baginda.
Pada sidang pertama konvokesyen UIAM itu,
seramai 345 graduan menerima ijazah masing-masing meliputi peringkat Doktor Falsafah (PhD), sarjana dan ijazah sarjana muda
melibatkan keseluruhan 5,489 graduan yang menerima skrol masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian.
Turut berlangsung pada sidang sama ialah penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Pemikiran dan Tamadun Islam secara anumerta kepada Profesor Emeritus John L. Esposito sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan dedikasi beliau dalam bidang akademik serta masyarakat.
Dalam pada itu, dua graduan, Aeshah Adlina A. Karim dan Ahmad Fitri Hakim Hashim menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang disumbangkan oleh Majlis Raja-Raja.
Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan tertinggi kepada graduan yang mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum serta sahsiah sepanjang tempoh pengajian.
Majlis turut menyaksikan pengiktirafan terhadap kecemerlangan graduan orang kurang upaya (OKU) menerusi Anugerah Khas Abdullah Ibn Ummi Maktum (Akademik) dan Anugerah Khas Amr Ibn Al-Jamuh (Kokurikulum).
Siti Nurain Rahim, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian menerima Anugerah Khas Abdullah Ibn Ummi Maktum, manakala Ariff Aiman Azmi, graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu Islam dan Warisan (Usul Al-Din) menerima Anugerah Khas Amr Ibn Al-Jamuh. – UTUSAN











