TUMPAT: Pas kekal dengan pendirian menjalin persefahaman serta kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sungguhpun terdapat pelawaan untuk parti itu bersama-sama menyokong Kerajaan Perpaduan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, pendirian itu telah ditegaskan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan diputuskan di dalam Majlis Syura Ulama.
Menurutnya, sehubungan itu kesemua pemimpin serta ahli Pas tidak perlu lagi menghiraukan pelawaan-pelawaan berkenaan atau sebarang spekulasi yang mengarah kepada perkara tersebut.
“Kita mempunyai dasar yang tetap sebagaimana pendirian dibuat oleh Presiden Pas dan setakat ini kita kekal dengan pendirian kita, selama mana DAP berada bersama Kerajaan Perpaduan serta PH.
“Kita tidak kisah dengan pandangan ini (pelawaan menyokong Kerajaan Perpaduan) sebab kita ada dasar dan pendirian yang diputuskan dalam Majlis Syura Ulama sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia .
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelawaan untuk bersama-sama menyokong Kerajaan Perpaduan itu dibuat atas tujuan menganggu-gugat persefahaman serta kerjasama yang sedang dibentuk oleh Perikatan Nasional (PN) dan BN pada ketika ini.
Menurutnya, keberkesanan kerjasama yang dibentuk oleh PN dan BN dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini dilihat telah menggugat keyakinan PH apabila mengalami banyak kekalahan serta kehilangan kerusi.
“Memang itu ikhtiar mereka yang tidak sedang melihat keakraban antara PN dan BN. Ia menjadi satu cabaran kepada PH dan sebab itulah berbagai-bagai orang datang mempelawa kita (untuk menyokong Kerajaan Perpaduan).
“Selama ini kita tidak pernah dengar pun, tetapi selepas apa yang berlaku di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka baru ada bunyi (pelawaan). Jadi kita fahamlah bahawa mereka sebenarnya takut dengan penyatuan PN dan BN,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abul Munim menyifatkan penyertaan Pas dalam Kerajaan Perpaduan mampu menghentikan perseteruan politik yang sedikit sebanyak terheret sentimen kaum dan agama.
Sebelum itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad dilaporkan menggesa Pas menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN











