NARATHIWAT (THAILAND): Kumpulan pejuang pembebasan paling aktif di Selatan Thai, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), tidak putus semangat walaupun kehilangan setiausaha agungnya, Abdullah Munir, Rabu lalu.
Malah, pergerakan itu kini mempunyai seorang calon berwibawa yang juga salah seorang pemimpin paling kanan untuk dilantik sebagai setiausaha agung yang baharu, susulan kematian Abdullah.
Seorang pemimpin kanan BRN yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, pemilihan dan pelantikan mengisi kekosongan kerusi setiausaha agung hanya boleh dibuat oleh Majlis Syura BRN.
Menurutnya, walaupun kematian Abdullah sesuatu yang mengejutkan, BRN tidak hilang pedoman atau berpecah-belah, kerana pemimpin dalam sesebuah organisasi silih berganti, datang dan pergi, namun perjuangan membela nasib rakyat tetap diteruskan.
“Tiada perpecahan, kami kekal bersatu dan setiausaha agung baharu akan dilantik. Majlis Syura akan bersidang tidak lama lagi untuk memilih dan senarai nama calon akan dikeluarkan.
“Biasanya calon-calon ini adalah orang lama paling kanan yang kini berada dalam kepemimpinan peringkat pusat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan di dalam organisasi BRN tidak ada pemimpin yang menawarkan diri sendiri atau menggunakan individu lain mencadangkannya, untuk menjadi setiausaha agung kerana jawatan itu adalah kedudukan paling tinggi dan berkuasa berbanding pengerusi.
“Biasanya mereka tidak mahu memegang jawatan itu. Tetapi, jika dipilih oleh majlis syura, maka mereka perlu menerimanya, tak boleh tolak.
“Bagi saya, ada seorang pemimpin kanan yang dilihat layak dan berpotensi untuk mengisi kekosongan itu dan beliau mungkin dilantik sebagai setiausaha agung baharu. Tapi terpulang kepada Majlis Syura,” katanya. – UTUSAN











