Pelantikan MB, enam Exco diharap tamatkan kemelut politik Negeri Sembilan

Pelantikan MB, enam Exco diharap tamatkan kemelut politik Negeri Sembilan

AHMAD Zahid merasmikan Himpunan 26K Huffaz Kebangsaan 2026 di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pelantikan Menteri Besar dan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Negeri Sembilan diharap menjadi penyelesaian kepada kemelut politik yang melanda negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu diharap dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, pelantikan itu juga membolehkan kerajaan negeri kembali melaksanakan tanggungjawabnya termasuk mengadakan sidang khas Belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“UMNO dan BN menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas perkenan mengekalkan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar serta melantik enam Exco kerajaan negeri hari ini.

“Kita harapkan dengan pelantikan Exco ini, segala tanggungjawab kerajaan Negeri Sembilan dapat dilaksanakan semula, bukan sahaja untuk mengadakan sidang khas Belanjawan di DUN, tetapi juga memenuhi tanggungjawab kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Himpunan 26K Huffaz Kebangsaan 2026 di Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.

Mengulas pendirian kepimpinan BN Pusat berhubung kemelut yang melanda negeri itu, Ahmad Zahid berkata, lima pemimpin utama telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semalam bagi membincangkan perkara itu dalam suasana tenang.

Katanya, keputusan yang diperkenankan baginda merupakan yang terbaik dan perlu disokong semua pihak demi memastikan kestabilan politik negeri itu terus terpelihara.

“Keputusan yang telah diputuskan Tuanku itu adalah satu keputusan terbaik dan rakyat keseluruhannya harus mendukung apa yang telah diperkenankan dan dititahkan Tuanku.

“Saya yakin kemelut ini telah berakhir dan kita berharap tidak timbul sebarang permasalahan baharu selepas ini,” katanya.

Terdahulu, seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mengangkat sumpah sebagai Exco baharu di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pelantikan itu menyaksikan empat wakil BN dan dua daripada Perikatan Nasional (PN).

Mereka yang dilantik daripada BN iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Repah, Koh Kim Swee (MCA).

Dua lagi Exco daripada PN ialah Ridzuan Ahmad (Gemas) daripada Parti Wawasan dan Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) daripada Pas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini