Pernah melalui fasa jatuh bangun dalam industri seni, penyanyi Marsha Milan cukup memahami bahawa populariti bukanlah sesuatu yang mampu bertahan selamanya, apatah lagi dalam dunia hiburan yang sentiasa menyaksikan kemunculan bakat baharu.
Bermula sebagai salah seorang peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), keberanian penyanyi berusia 41 tahun itu kembali menguji kemampuan menerusi pentas AF Megastar pada 2017 membuka lembaran baharu sehingga namanya kembali menjadi perhatian dan kini berdiri sebaris dengan penyanyi hebat tanah air.
Justeru, apabila melihat rakan-rakan seperjuangannya kembali mempertaruhkan bakat menerusi program Gegar Vaganza Fantasia (GV), pastinya Marsha mempunyai pandangan tersendiri tentang perjuangan seorang penyanyi untuk terus kekal relevan.
Adakah penyertaan dalam pertandingan realiti selepas bertahun-tahun membina nama dianggap sebagai langkah ke belakang atau sebenarnya peluang kedua untuk membuktikan kemampuan yang mungkin pernah dipandang sepi? Jadi, Marsha jawablah!
Apa perasaan Marsha apabila melihat rakan-rakan seperjuangan yang pernah bertanding di pentas Akademi Fantasia kini kembali perjuangkan nama mereka di GV?
Saya benar-benar gembira untuk mereka. Seronok rasanya apabila dapat melihat mereka kembali berada di atas pentas dan melakukan perkara yang mereka cintai. Perasaan itu seolah-olah membawa saya kembali mengenang zaman dahulu, sekali gus terimbau banyak kenangan indah yang pernah kami lalui bersama.
Adakah platform ini membantu mereka yang pernah menerima gelaran juara kembali mendapatkan populariti?
Ya, saya sangat percaya GV mampu membantu mereka. Cuma, semuanya bergantung pada perspektif dan motivasi setiap juara yang menyertainya. Mungkin ada yang mahu membuat kemunculan semula, ada yang ingin mempromosikan karya mereka, ada juga yang melihatnya sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan.
Tidak kurang juga yang mungkin sekadar merindui peluang untuk kembali membuat persembahan, terutamanya di pentas yang lebih besar. Walau apa pun niat mereka, saya percaya GV memberikan sesuatu yang cukup bermakna kepada mereka.

Pada pandangan Marsha adakah pentas seperti GV ini ibarat ‘merendahkan’ taraf seorang penyanyi apabila perlu dikritik di hadapan khalayak ramai?
Bagi saya, semuanya bergantung pada cara kita menerima sesuatu. Kalau kita memilih untuk melihatnya secara positif, maka positiflah hasilnya. Kalau kita menerimanya secara negatif, negatiflah jadinya. Selagi kita memberi ruang kepada diri sendiri untuk berkembang dan terus melangkah ke hadapan, apa pun pandangan juri mahupun penonton, kalau kita boleh menjadikan setiap komen itu sebagai peluang untuk memperbaiki diri, mengapa tidak?
Saya sendiri pernah mempunyai pengalaman menjadi juri dan boleh katakan tugas itu juga bukan mudah. Penjurian memerlukan ilmu, pemahaman dan fokus yang tinggi untuk menilai sesebuah persembahan. Jadi, setiap komen yang diberikan bukanlah diberikan secara sembarangan. Pada masa sama, daripada perspektif penonton pula, mungkin ada komen yang kita rasakan kurang masuk akal. Tetapi, itulah keindahan muzik kerana bidang ini sangat luas dan bersifat subjektif. Apa yang sesuai atau menarik bagi seseorang, tidak semestinya memberikan kesan yang sama kepada individu lain. Akhirnya, kita tidak semestinya perlu bersetuju dengan setiap pandangan yang diberikan. Namun, kita sentiasa boleh memilih untuk menghormatinya.
Nasihat kepada peserta GVF?
Sejujurnya, saya sangat menghormati semua rakan saya yang menyertai GVF. Percayalah, ia bukan sesuatu yang mudah. Terlalu banyak perkara yang perlu dihadapi dan dilakukan untuk mengharungi pertandingan walaupun hanya bagi tempoh seminggu. Ketepikan dahulu soal menang atau kalah, layak atau tidak ke minggu seterusnya. Keseluruhan proses pertandingan itu sebenarnya boleh menjadi sesuatu yang sangat memenatkan dari segi mental, fizikal, malah kewangan.
Ada ketikanya, keadaan itu juga boleh menyebabkan kehilangan semangat dan motivasi.
Orang ramai selalunya hanya melihat apa yang berlaku di atas pentas, sedangkan terlalu banyak perkara lain berlaku di belakang tabir. Doa saya sentiasa mengiringi mereka semua. Semoga mereka terus diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan, sentiasa bersemangat dan paling penting dikurniakan kesihatan yang baik.











