KUALA LUMPUR: Keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membelakang ahli gabungan badan induk itu untuk mengubah format Piala Thomas dan Uber bermula 2028, wajar dipersoalkan lebih-lebih lagi kejohanan itu sering dilihat seperti Piala Dunia dalam sukan bola sepak.
Apakah niat BWF untuk mengubah format lama, lima permainan iaitu tiga perseorangan dan dua beregu kepada tiga permainan yang mungkin melibatkan dua perseorangan serta satu beregu?
Format lima perlawanan yang telah diguna pakai sejak 1984 pada kejohanan berusia 77 tahun itu tiada cacat celanya, maka, dapat difahami jika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kurang berpuas hati apabila perubahan tersebut dibuat BWF, lebih-lebih lagi tanpa mendapatkan persetujuan ahli gabungan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya menimbangkan perkara tersebut dengan pemikiran yang logik serta tanpa mengikut emosi dan ia juga bukan melibatkan kepentingan Malaysia semata-mata.
“Bagi saya sebelum format baharu dilaksanakan, kita berasakan amat penting BWF membuat kajian dan ujian terlebih dahulu, bagi mengumpul seberapa banyak data yang perlu sebelum membuat keputusan.
“Saya rasa kita perlu berfikiran logik, bukan ikut emosi. Baiklah, sama ada format itu menguntungkan Malaysia atau tidak, itu hal lain, yang penting sekarang kita perlu tahu kerana Piala Thomas dan Uber ini umpama Piala Dunia dalam sukan badminton,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Justeru, menurut beliau, buat masa ini, BAM lebih selesa menunggu maklum balas daripada ahli gabungan terlebih dahulu sebelum mengorak langkah dengan tindakan selanjutnya.
“Saya pun tak pasti sama ada kita boleh membuat bantahan atau apakahlangkah seterusnya. Mungkin kita boleh tahu dalam beberapa minggu ini bila kita dengar daripada ahli gabungan yang lain. Sebab setakat ni, saya belum lagi mendengar maklum balas daripada ahli gabungan lain,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut berkata, jika dari sudut pandangan Malaysia, seandainya format tiga permainan itu lebih menitik beratkan pemain perseorangan, maka, perubahan tersebut sememangnya tidak menguntungkan skuad kebangsaan.
“Kekuatan Malaysia adalah dalam permainan beregu, jadi agak sikit rugi kerana persediaannya nanti cuma satu beregu,” katanya.
Herry memberitahu, mungkin keputusan BWF itu didorong untuk menjimatkan kos penganjuran Piala Thomas/Uber kerana pasukan bertanding tidak perlu membawa ramai pemain.
“Jadi mungkin dari sudut pandang pembiayaan itu lebih murah bajetnya. Tapi memang dari durasi pertandingan pasti lebih singkat. Biasa ada lima perlawanan, ini cuma ada tiga perlawanan,” ujarnya. – UTUSAN










