PENYERTAAN Malaysia dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) mencerminkan komitmen negara untuk terus memperkukuh perdagangan dan integrasi ekonomi serantau.
Namun, pada pandangan saya, dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif dan tidak menentu, persoalan lebih besar ialah sejauh mana penglibatan diplomatik itu mampu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi sebenar kepada negara dan sektor perniagaan tempatan.
Malaysia tidak boleh sekadar berpuas hati menjadi peserta dalam forum ekonomi antarabangsa.
Sebaliknya, negara perlu mempunyai strategi yang lebih berani, tersusun dan berpandangan jauh untuk memastikan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), turut berupaya menembusi pasaran antarabangsa.
Hakikatnya, saya merasakan kekuatan ekonomi sesebuah negara bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk, tetapi juga kemampuan syarikat domestiknya berkembang, melabur dan bersaing di luar sempadan negara.
Dalam konteks ini, Malaysia perlu melihat APEC sebagai salah satu platform strategik, bukannya satu-satunya landasan untuk mencapai cita-cita ekonomi global.
Malaysia sebenarnya mempunyai pengalaman tersendiri dalam membina hubungan ekonomi antarabangsa secara strategik.
Ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, dengan Tun Daim Zainuddin memainkan peranan penting dalam pengurusan ekonomi negara, Malaysia memperkenalkan pendekatan pembangunan yang memberi penekanan kepada kepelbagaian hubungan ekonomi dan kerjasama antarabangsa.
Dasar Pandang ke Timur, misalnya, bukan sekadar usaha mencontohi kemajuan Jepun dan Korea Selatan, sebaliknya mencerminkan kesungguhan Malaysia mempelajari model pembangunan, disiplin industri, teknologi dan budaya kerja daripada negara yang berjaya membina kekuatan ekonomi sendiri.
Pada masa sama, pendekatan Kerjasama Selatan-Selatan membuka ruang kepada Malaysia memperluas hubungan perdagangan dan diplomatik dengan negara membangun di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Mesej utama daripada pendekatan tersebut cukup jelas, iaitu Malaysia tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pasaran tradisional atau kelompok rakan dagang tertentu.
Pengalaman itu wajar diberikan perhatian semula dalam keadaan ekonomi dunia hari ini yang menyaksikan perubahan rantaian bekalan, persaingan teknologi dan kemunculan kuasa ekonomi baharu.
Selain itu, saya merasakan penglibatan China yang semakin meluas di negara-negara Selatan Global menerusi perdagangan, pembangunan infrastruktur dan pelaburan turut memperlihatkan betapa pentingnya jaringan ekonomi yang lebih pelbagai.
Malaysia tidak semestinya perlu meniru pendekatan mana-mana negara, tetapi harus mengambil iktibar bahawa pengaruh ekonomi antarabangsa dibina melalui strategi jangka panjang, jaringan perniagaan dan keupayaan melaksanakan kerjasama yang menghasilkan pulangan nyata.
Antara cabaran utama Malaysia ketika ini ialah mengenal pasti pasaran pertumbuhan baharu yang mampu menawarkan peluang jangka panjang kepada syarikat tempatan.
Negara seperti India, Brazil, Türkiye, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor, termasuk pembuatan, infrastruktur, teknologi, tenaga, perkhidmatan kewangan dan pasaran pengguna.
Perkembangan ekonomi negara-negara tersebut membuka ruang kepada Malaysia untuk memperluas eksport, membina kerjasama industri dan meneroka peluang pelaburan strategik.
Lebih penting, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh ditawarkan kepada pasaran berkenaan.
Kepakaran negara dalam kejuruteraan, pembuatan mikroelektronik, kewangan Islam, industri halal, penjagaan kesihatan, tenaga boleh baharu dan perkhidmatan digital merupakan antara kekuatan yang berpotensi dikembangkan di peringkat antarabangsa.
Dalam industri halal, misalnya, Malaysia mempunyai peluang untuk memperkukuh kedudukannya bukan sekadar sebagai pengeluar produk, tetapi juga sebagai penyedia ekosistem merangkumi pensijilan, logistik, pembiayaan dan perkhidmatan berkaitan. – UTUSAN
Penulis adalah Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Ekonomi Strategik Malaysia (DPESM)











